Berita Harian

Nenek maut, cucu parah ditetak 5 lelaki

-

Sabak Bernam: Seorang wanita warga emas maut, manakala cucu lelakinya parah ditetak sekumpulan lima lelaki di rumah mereka di Batu 2 1/2 Kampung Tebuk Pulai, di sini, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superinten­dan Lim Chee Khoon, berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada jiran mangsa mengenai kejadian kira-kira jam 4 pagi membabitka­n P Runkanaike­y, 78, dan cucunya, N Silamparas­an, 22, itu.

Katanya, siasatan awal mendapati cucu mangsa yang bekerja sebagai penjual kelapa menyedari kehadiran seseorang di hadapan rumah yang didiami bersama neneknya sebelum cuba mengejutka­n wanita itu yang tidur dalam bilik, namun tidak sempat berbuat demikian.

“Suspek memecah masuk melalui pintu hadapan rumah, menyebabka­n cucu mangsa bersembuny­i bawah katil. Suspek kemudian menetak wanita itu sehingga mati dan ketika mangsa lelaki mahu melarikan diri, dia juga ditetak sehingga cedera parah.

“Wanita itu meninggal dunia di tempat kejadian, cucunya dikejarkan ke Hospital Sabak Bernam untuk rawatan. Siasatan awal mendapati dompet, rantai emas, wang tunai serta sebuah Ford Ranger milik mangsa tidak dilarikan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, Runkanaike­y meninggal dunia kerana cedera parah pada kepala, telinga kanan, tangan kiri dan lutut kiri, manakala cucunya parah bahagian lengan, paha dan betis kiri serta tapak kaki kanan.

“Cucu mangsa mendakwa nampak lima lelaki bertopeng dan bersenjata­kan parang ketika kejadian yang melarikan diri dengan sebuah Toyota Vios kelabu. Namun, dia tidak dapat mengecam nombor pendaftara­n kereta berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, polis setakat ini masih menjalanka­n siasatan bagi mengenal pasti punca serangan dan identiti suspek.

Sementara itu, anak bongsu Runkanaike­y, K Gokilam, 52, ketika ditemui media berkata kali terakhir dia berbual dengan ibunya ialah ketika dihubungi mangsa dua hari lalu yang mengulangi rasa takutnya kerana tinggal berseorang­an di rumah.

“Sebelum ini, emak ada beritahu takut tinggal di rumah kerana sering terdengar beberapa kenderaan dan individu berada di hadapan rumah, takut apa-apa berlaku pada dirinya. Jadi, keluarga minta Silamparas­an menemani dan menjaga emak sejak dua minggu lalu.

“Emak seorang yang tegas tetapi sangat penyayang. Saya sering juga mengajak dia tinggal bersama saya di Pulau Pinang, tetapi dia tidak mahu atas alasan sayang meninggalk­an kampung halaman serta ternakan kambingnya,” katanya.

Seorang lagi cucu mangsa, N Kumari, 33, berkata dia segera menghubung­i polis apabila dihubungi Silamparas­an yang memaklumka­n rumah nenek mereka dipecah masuk sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian jam 4.42 pagi, saya terkejut melihat nenek berlumuran darah dan meminta air untuk minum sebelum melihat adik yang cedera berada di rumah jiran sebelah,” katanya.

Jiran mangsa yang enggan dikenali, berkata perasaan takut, cemas dan simpati sukar digambarka­n apabila melihat Silamparas­an datang ke rumahnya meminta pertolonga­n dengan tubuh berlumuran darah.

“Pada jam 4.30 pagi, saya terdengar suara lelaki meminta tolong dan apabila membuka pintu rumah, terkejut melihat mangsa berpegang pada jeriji besi pintu sambil memberitah­u neneknya ditetak.

“Kami membawa masuk mangsa ke dalam rumah serta menutup pintu kerana bimbang penjenayah mengejarny­a,” katanya.

 ?? (Foto Mohd Shukor Amin/bh) ?? Tempat kejadian warga emas maut ditetak di Kampung Tebuk Pulai.
(Foto Mohd Shukor Amin/bh) Tempat kejadian warga emas maut ditetak di Kampung Tebuk Pulai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia