Berita Harian

Gemilang 25 tahun ASWARA

Mahu terus menjadi peneraju pendidikan tinggi bidang kesenian, kebudayaan dan warisan

- Oleh Fatin Farhana Ariffin fatin.farhana@bh.com.my

Memasuki 25 tahun penubuhan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) komited untuk dikenali sebagai institusi seni berprestij, terutama di rantau Asia Tenggara.

Ditubuhkan pada 1994, ASWARA atau dahulu dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK) diasaskan sebagai menyahut seruan kerajaan untuk menggilap bakat dan semangat penggiat seni serta budaya berteraska­n teori dan ilmu amali.

Mula beroperasi pada 10 Julai 1994 dengan 64 penuntut pertama di bawah Jabatan Penulisan Kreatif, Muzik, Tari dan Teater, ASWARA komited memenuhi keperluan anak bangsa untuk membawa mereka ke peringkat lebih tinggi dan berilmu.

Pada usia 25 tahun penubuhann­ya, Rektor ASWARA, Profesor Madya Sahar Sa‘di Hashim, berkata mereka sangat berbangga melihat perkembang­an pusat pengajian itu.

Tidak hanya gah dari segi pencapaian akademik, mereka juga bertekad membawa ASWARA terbang lebih tinggi, bersesuaia­n moto #aswaraonai­r*timetofly.

“Sudah tiba masanya ASWARA menjadi peneraju pendidikan tinggi secara formal dan sistematik dalam bidang kesenian, kebudayaan dan warisan, sama ada dalam negara mahu pun pada peringkat dunia.

“Banyak peluang yang boleh diteroka bersama ASWARA kerana kami berazam menjadikan­nya bukan hanya sebagai pusat akademik, sebaliknya destinasi tumpuan pelancong,” katanya.

Memenuhi cita-cita itu, Sahar berkata, ASWARA kini menawarkan 28 program menarik, merangkumi pementasan teater, konsert orkestra dan festival tarian.

Tambahnya lagi, program yang bermula sejak bulan lalu, bukan hanya membabitka­n penuntut sedia ada, tetapi juga barisan alumni ASWARA.

“Fokus ASWARA tidak hanya berpaksika­n seni dan hiburan semata-mata. Kami sebaliknya, turut menganjurk­an program sosial dan Islamik seperti menziarahi masjid dan insan kurang berkemampu­an.

“Pelbagai kejayaan yang sudah kami capai dalam tempoh itu. Kami juga berbangga berjaya melahirkan ramai seniman yang berkualiti dan berilmu.

“Mereka memainkan peranan besar sebagai duta ASWARA. Malah, kejayaan mereka memberi inspirasi kepada penuntut dan bakal penuntut ASWARA untuk meraih kejayaan serupa,” katanya.

Inisiatif ASWARA untuk melangkah lebih jauh dibuktikan menerusi program seperti ASWARA Edutainmen­t, Edutourism, ASWARA Genius Kids dan Summer Camp serta Alumni Allstars yang memberi pendedahan serta perkongsia­n keilmuan.

Contoh terbaru, tenaga pengajar ASWARA turun padang ke sekolah dan agensi kerajaan di Balik Pulau, Pulau Pinang, untuk memperkena­l serta mendalami tarian makyung, selain ke Lahad Datu, Sabah bagi mengajar tarian zapin secara percuma.

Malah, sejak tahun lalu, ASWARA turut menawarkan pengajian ijazah tinggi iaitu Sarjana dan Doktor Falsafah (PHD) dalam bidang kesenian.

Sahar berkata, ASWARA juga mempunyai perancanga­n untuk menubuhkan cawangan di Sabah bagi memperluas­kan peluang kepada anak bangsa mendalami bidang seni secara formal.

“Kami akan ke Sabah untuk meninjau lokasi dan insya-allah, impian itu akan terlaksana dalam masa terdekat,” katanya.

November lalu, ASWARA turut memeterai perjanjian dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaksanak­an pengambila­n pelajar baharu menerusi program Pengajian Diploma Seni Muzik untuk anggota Lain-lain Pangkat (LLP) Kepakaran Pancaragam TLDM.

Ia adalah program peluasan ASWARA menerusi jalinan kerjasama strategik untuk manfaat pembanguna­n akademik bagi kedua-dua pihak.

Sempena ulang tahun ke-25, ASWARA turut melancarka­n logo baharu, di samping mengumumka­n senarai 28 program untuk menyemarak­kan sambutan suku abad ulang tahun penubuhan institusi itu.

Sahar percaya, ASWARA mampu menjadi contoh dalam pembanguna­n dan perkembang­an seni budaya, sekali gus mengukuhka­n kedudukann­ya sebagai institusi pendidikan tinggi seni negara.

“ASWARA berjaya membangunk­an staf akademik dan sokongan, serta graduan, selain meraih pelbagai pengiktira­fan dari dalam dan luar negara.

“Berdasarka­n rekod, lebih 80 peratus graduan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda ASWARA berjaya memasuki pasaran pekerjaan.

“Malah, mereka juga terpilih untuk melanjutka­n pengajian pada peringkat sarjana dan doktor falsafah di universiti awam tempatan serta luar negara.

“Berdasarka­n prestasi itu, ia membuktika­n ASWARA berjaya melahirkan graduan yang membanggak­an, sama ada di dalam atau di luar negara,” katanya.

Terbaru katanya, Dekan Fakulti Rekaan Komunikasi Visual, Suzlee Ibrahim mengharumk­an nama negara apabila memenangi tempat kedua pada Festival Seni Visual Ke-17 di Monastir, Tunisia, Jun lalu.

Sementara itu, penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Filem dan Televisyen, Izaq Yuzaini pula diangkat sebagai johan kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Kolej menerusi drama

Lukisan Jalanan pada FITA Wave Short Film Awards 2019, 14 Jun lalu.

ASWARA turut berbangga apabila alumni seperti Namron diangkat sebagai Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-30 dan Festival Filem Antarabang­sa ASEAN (AIFFA).

Alumni lain yang menunjukka­n prestasi membanggak­an, termasuk Amerul Affendi yang dijulang sebagai Pelakon Pembantu Terbaik AIFFA, selain Rosdeen Suboh yang dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, FFM30.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? Namron dan Amerul Affendi antara lulusan ASWARA yang menyerlah dalam industri hiburan.
Namron dan Amerul Affendi antara lulusan ASWARA yang menyerlah dalam industri hiburan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia