Berita Harian

Skuad termuda jadi taruhan

Sasaran juarai pasukan kategori Asia

- Oleh Jumiati Rosly jumiati@bh.com.my

Putrajaya: Aaliyah Yoong, yang menjadi sandaran skuad negara berjanji akan memperagak­an aksi terbaik pada Kejohanan Dunia Ski Air IWWF 2019 yang bermula di Kompleks Sukan Air Putrajaya, hari ini.

Menurut pemenang tiga pingat emas Sukan SEA 2017 itu, keyakinann­ya menghadapi kejohanan di laman sendiri itu meningkat selepas kehadiran jurulatih dari Perancis, Marian Malaquin yang melahirkan ramai jaguh dunia sebelum ini.

“Saya rasa semua sudah bersedia sekarang dan saya berada dalam keadaan yang bagus terutama selepas menghadapi tiga pertanding­an menjelang Kejohanan Dunia kali ini.

“Saya harap mampu menyerlah di laman sendiri,” katanya yang memperoleh dua pingat perak pada Kejohanan Moomba Remaja di Melbourne, Australia Mac lalu.

Selain Aaliyah yang menduduki ranking dunia acara tricks kategori bawah 17 tahun, skuad negara kali ini turut disertai Aiden Yoong, Adam Yoong dan Nadiah Nasir.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Hanifah Yoong berkata, skuad negara menjadi pasukan termuda dan pihaknya sekadar meletakkan harapan untuk mengatasi pasukan Asia yang lain pada kejohanan kali ini.

“Nadiah berumur 22, Aaliyah 16, Aiden 13 dan Adam pula 11 tahun, jadi kombinasi purata umur pasukan kita menjadikan kita pasukan termuda daripada keseluruha­n 32 pasukan yang bertanding.

“Jika kita dapat menjuarai pasukan kategori Asia, ia sudah pencapaian terbesar kerana kita tidak pernah memperoleh pencapaian lebih daripada tempat keempat keseluruha­n Asia,” katanya pada sidang media semalam.

Hanifah yang juga Pengarah Kejohanan berkata, sasaran yang diletakkan buat Aaliyah adalah untuk menduduki kelompok 12 terbaik dalam pusingan kelayakan sekali gus melangkah ke final terutama dalam acara kegemarann­ya, tricks.

“Sebelum ini pencapaian terbaik Aaliyah di tempat ke-16, diharapkan dengan sedikit tuah dan dia dapat menyerlah, maka dia dapat mara ke final. Mara ke final juga pencapaian terbesar buat atlet ski air negara,” katanya.

 ?? (Foto Rosela Ismail/bh) ?? Malaquin bersama atlet luncur air negara, Adam Yoong (kiri), Aiden Yoong (dua dari kiri), Aaliyah Yoong (dua dari kanan) dan Nadiah Nasir pada sidang media Kejohanan Dunia Ski Air IW WF 2019 di Putrajaya, semalam.
(Foto Rosela Ismail/bh) Malaquin bersama atlet luncur air negara, Adam Yoong (kiri), Aiden Yoong (dua dari kiri), Aaliyah Yoong (dua dari kanan) dan Nadiah Nasir pada sidang media Kejohanan Dunia Ski Air IW WF 2019 di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia