Berita Harian

‘Kejayaan atasi Rossi, Vinales umpama mimpi’

-

Kuala Lumpur: Bagaikan mimpi! Itu kata Pengurus Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Wilco Zeelenberg ketika mengulas pencapaian Fabio Quartararo yang mampu mengatasi dua pelumba pasukan utama Yamaha - Valentino Rossi dan Maverick Vinales - di Litar Red Bull Ring-spielberg yang sukar buat pelumba dan pengeluar itu.

Quartararo meraih penamat di tempat ketiga selepas bermula dari petak kedua dan kali terakhir pelumba Yamaha berada di podium pada tahun 2016 menerusi Jorge Lorenzo.

Ketika itu, Lorenzo menamatkan perlumbaan di tempat ketiga manakala Rossi keempat.

“Saya sangat bimbang mengenai perlumbaan ini tetapi Michelin memberi tayar belakang yang sesuai dan lebih baik dengan Yamaha berbanding beberapa tahun sebelum ini,” kata Zeelenberg.

“Ini dapat dibuktikan dengan keputusan di tempat ketiga, keempat dan kelima daripada Fabio, Valentino dan Maverick. Untuk Fabio mengatasi mereka, saya gambarkan ia seperti satu mimpi biarpun sekiranya dia lebih bernasib baik pada permulaan saingan dan berada dalam kedudukan tepat ketika Marc (Marquez) melakukan kesilapan.

“Fabio mampu memecut pada awal saingan, sebelum membuat keputusan bijak menukar kepada penggunaan elektronik yang lebih selamat dan menjimatka­n penggunaan tayar sehingga ke garisan penamat.

“Dia tampak sedikit bergelut untuk mencari keserasian dengan motosikal dan kami tahu, trek ini adalah antara yang sukar buat dirinya,” katanya.

Selepas 11 pusingan, Quartararo ketika ini terus mendahului carta muka baharu (rookie) Motogp dengan 92 mata dan berada di tangga ketujuh keseluruha­n pelumba dalam kelas perdana itu.

Pusingan ke-12 dijadual berlangsun­g di GP British di Litar Silverston­e dari 23 hingga 25 Ogos ini.

 ??  ?? Fabio Quartararo
Fabio Quartararo

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia