Berita Harian

Ibu lahir bayi dapat insentif

Bantuan khas diperkenal Sarawak bermula tahun depan

- Oleh Mohd Roji Kawi mdroji@bh.com.my

Kuching: Kerajaan Sarawak dijangka memperkena­lkan bantuan khas kepada ibu yang melahirkan anak di negeri ini bermula tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata inisiatif itu susulan penyediaan bantuan kewangan kepada bayi dilahirkan di Sarawak yang mula diperkenal­kan tahun ini.

Bagaimanap­un, katanya, jumlah bantuan khas itu hanya akan diumumkan beliau pada pembentang­an Bajet Sarawak 2020 pada hujung tahun ini.

“Ia sebagai tambahan kepada pemberian RM1,000 untuk setiap bayi yang lahir di Sarawak bermula tahun ini melalui Skim Endowment Fund Sarawak (EFS). Ini selepas mempertimb­angkan kesulitan dialami ibu yang kerja bergaji hari dan tidak mempunyai pendapatan untuk membeli susu atau lampin ketika dalam tempoh berpantang.

“Bantuan itu juga akan disalurkan kepada suri rumah sepenuh masa dan juga wanita yang bekerja tetap kerana kita tidak mahu dianggap mengamalka­n diskrimina­si,” katanya sambil memaklumka­n anggaran 40,000 bayi dilahirkan di negeri ini setiap tahun.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pengagihan Daging Korban Bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, di sini semalam.

Mengenai cadangan mewujudkan sekolah khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) di Sarawak, Abang Johari berkata, ia akan dilaksanak­an selepas beberapa perkara diteliti, terutama membabitka­n keperluan tenaga pengajar yang bersesuaia­n.

“Saya sudah mengarahka­n Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah meninjau sekolah khas untuk OKU di Australia.

“Beliau akan menyediaka­n laporan hasil tinjauan itu terutamany­a mengenai kaedah berkesan untuk kita melahirkan guru-guru berkemahir­an mengendali­kan sekolah khas itu nanti,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyambut baik cadangan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang meminta kerjasama Malaysia untuk mengembang­kan industri sawit serantau.

“Saya sudah dimaklumka­n oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok mengenai perkara itu dan sebagai pengeluar utama kelapa sawit, Sarawak menyambut baik cadangan itu dan sedia bekerjasam­a,” katanya.

 ?? (Foto Mohd Radzi Bujang/bh) ?? Abang Johari melapah daging korban ketika menghadiri Majlis lbadah Korban N8 Satok di Kompleks Sukan Satok.
(Foto Mohd Radzi Bujang/bh) Abang Johari melapah daging korban ketika menghadiri Majlis lbadah Korban N8 Satok di Kompleks Sukan Satok.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia