Berita Harian

‘Tandas awam kotor cermin sikap rakyat’

-

Putrajaya: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui amat malu dengan keadaan tandas awam di negara ini yang kotor dan busuk, sekali gus mencermink­an sikap rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kesedaran sivik.

Perdana Menteri berkata, Malaysia berdepan masalah sivik dalam kalangan masyarakat yang melakukan pelbagai perkara yang tidak baik seperti membuang sampah merata-rata, mencuri air, elektrik dan lampu jalan.

“Kalau kita pergi ke negara tertentu, tandas awam mereka amat bersih. Ia bersih kerana pengguna tidak kotorkan keadaan. Kenapa? Dia rasa bertanggun­gjawab dan menghargai pandangan masyarakat terhadap diri.

“Tandas di Malaysia... saya amat malu kerana saya sering kali pergi buat inspection tandas di Malaysia untuk tengok bersih atau tidak, biasanya tidak, dan busuk.

“Itu mencermink­an sifat yang ada pada kita, sepatutnya kita berasa malu,” katanya ketika berucap melancarka­n Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan 2019, di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, keadaan diburukkan lagi dengan masalah pembuangan sampah merata-rata serta contengan pada dinding yang mencemarka­n pemandanga­n.

“Sekarang ini sampah dibuang di merata tempat dan kerana itu, kita tak dapat kebersihan yang kita idamkan. Ya, kita nak keadaan sekeliling bersih, tapi kita yang kotorkan, dan ini berlaku kerana kita tiada nilai sivik yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, ia bukan disebabkan undang-undang yang tidak ketat, tetapi sikap individu yang gagal mengawal dan mendisipli­nkan diri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia