Berita Harian

Pilu terima berita kematian Nora

Kudrat remaja lembam harung hutan tebal, daki gunung seorang diri jadi persoalan

- Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi tuty@bh.com.my

Seremban: Sedih dan pilu. Itu perasaan saya apabila menerima berita polis menemui mayat seorang perempuan dalam kawasan pencarian remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, yang hilang pada 4 Ogos lalu di kawasan hutan dekat resort penginapan­nya, semalam.

Saya percaya itulah juga perasaan ibu bapa remaja berkenaan, pasukan SAR yang bertungkus-lumus siang dan malam serta anggota media yang amat mengharapk­an berita baik pada akhir pencarian itu.

Hari pertama saya tiba di kawasan itu untuk membuat liputan, hati berdebar-debar kerana hutan serta Gunung Berembun setinggi 1,014 meter di situ bukan ‘mainan’ bagi remaja warga asing seperti itu yang turut menghadapi masalah lembam.

Mengimbas pengalaman mendaki Gunung Berembun dua tahun lalu menjadi persoalan sama ada remaja itu mampu mendaki gunung yang mempunyai banyak laluan mencabar, selain sungai yang berarus deras.

Hati saya berkata, jika benar Nora Anne masuk ke kawasan gunung itu, tidak dapat dibayangka­n bagaimana dia dapat bertahan dalam hutan yang tebal berseorang­an dengan hanya berpakaian dalam.

Lebih memilukan, bagaimana remaja itu mendapat kudrat untuk terus bergerak setiap hari tanpa makanan dan tanpa pakaian lengkap mengharung keadaan hutan yang tebal berseorang­an.

Sedih melihat ibu bapa remaja berkenaan yang setia menunggu khabar daripada anggota SAR sejak hari pertama anak mereka hilang.

Semalam, apa yang saya bimbangkan sejak hari pertama menjadi kenyataan apabila Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, menyatakan polis yakin mayat yang ditemui itu adalah Nora Anne.

Polis tentu ada asas tersendiri untuk membuat kesimpulan berkenaan.

Pada 3 Ogos lalu, laluan ke Gunung Berembun yang terletak kira-kira empat kilometer dari pekan Pantai, Jalan Jelebu sama seperti hari biasa dan hanya sesekali banyak kenderaan pada hujung minggu bagi mereka yang berhasrat mendaki gunung itu.

Bagaimanap­un, jalan sempit itu tiba-tiba bertukar menjadi sibuk dengan pelbagai kenderaan selepas berita kehilangan Nora Anne tersebar pada 4 Ogos lalu.

Malah orang ramai tidak sewenang-wenangnya dibenarkan masuk ke kawasan Gunung Berembun yang turut menjadi antara lokasi operasi SAR remaja itu.

Pintu masuk ke beberapa resort sebelum kaki gunung itu turut dikawal ketat pihak berkuasa dengan hanya pihak tertentu serta tetamu yang menginap di resort sahaja dibenarkan masuk.

Pihak media pula hanya dibenarkan menunggu di pintu resort remaja itu dilaporkan hilang dan selepas empat hari operasi SAR dijalankan, baharu sebuah khemah didirikan di kawasan berkenaan.

Kehilangan Nora Anne turut mendapat liputan meluas media antarabang­sa yang berkumpul sejak hari kedua dia dilaporkan hilang dan setiap hari, puluhan media hanya mampu berkumpul di khemah itu menantikan sebarang perkembang­an semasa.

Setiap hari juga bukan sahaja jumlah media bertambah, malah, jumlah mereka yang terbabit dengan operasi SAR terus meningkat dalam usaha mencari remaja itu.

Namun, hanya pada hari kesembilan operasi SAR, pengamal media buat kali pertama diajak bersama-sama menyertai operasi SAR remaja itu.

Selama tempoh itu, pihak berkuasa melakukan pembagai usaha untuk menjejaki Nora Anne termasuk penggunaan peralatan canggih seperti dron dan helikopter AS 355N dilengkapi kamera pemantau jenis WESCAM yang berupaya mengesan objek dan manusia daripada ketinggian 1,500 kaki dari udara pada waktu siang dan malam.

Selain itu juga, turut bersama operasi itu adalah pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) Komando VAT 69, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih dan PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan negeri dan penduduk tempatan termasuk Orang Asli.

 ?? (Foto Iqmal Haqim Rosman/bh) ?? Wartawan turut menyertai operasi SAR di hutan dan Gunung Berembun.
(Foto Iqmal Haqim Rosman/bh) Wartawan turut menyertai operasi SAR di hutan dan Gunung Berembun.
 ?? (Foto Adzlan Sidek/bh) ?? Anggota pasukan SAR ketika menjalanka­n misi pencarian pada hari ke-10.
(Foto Adzlan Sidek/bh) Anggota pasukan SAR ketika menjalanka­n misi pencarian pada hari ke-10.
 ??  ?? Gambar Nora Anne bersama ibunya Meabh Quoirin.
Gambar Nora Anne bersama ibunya Meabh Quoirin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia