Berita Harian

Penyebar maklumat palsu bakal hadapi tindakan

Individu ada bukti digesa tampil bantu siasatan

- Oleh Faris Fuad faris.fuad@bh.com.my

Kuala Lumpur: Polis tidak akan teragak-agak menahan mana-mana individu, termasuk ahli politik yang menyebarka­n maklumat palsu mengenai kes kemalangan maut di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara Selatan, Sabtu lalu melalui media sosial, termasuk mengaitkan dengan isu perkauman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pihaknya sedang memantau kegiatan itu, termasuk mengenal pasti latar belakang individu yang melakukan perbuatan berkenaan.

“Setakat ini, belum ada tangkapan dan kita sedang mengenal pasti individu terbabit. Baru-baru ini, ada seorang ahli politik menerusi satu klip video yang tular di media sosial turut dilihat cuba membakar sentimen perkauman.

“Ini sedang kita siasat dan polis berharap kerjasama orang ramai agar jangan memburukka­n lagi keadaan. Sebaliknya, tampil ke mana-mana balai polis berhampira­n jika mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan,” katanya kepada BH.

Dalam insiden itu, pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, maut susulan perselisih­an faham selepas kemalangan kecil di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara Selatan berhampira­n persimpang­an Southville City, Bangi.

Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes itu yang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kedua-dua mereka direman tujuh hari sehingga 17 Ogos ini.

Fadzil ketika mengulas lanjut, berkata penyebaran berita palsu seperti itu secara tidak langsung mengganggu proses siasatan polis terhadap insiden berkenaan.

“Fokus polis untuk menyelesai­kan kes berbangkit, namun pada masa yang sama, timbul pula berita palsu disebarkan individu tidak bertanggun­gjawab mengganggu proses siasatan.

“Kita komited mengesan dalang di sebalik penyebaran maklumat palsu bagi memastikan individu terbabit tidak terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Ditanya mengenai perkembang­an kes, beliau berkata, pihaknya sudah merakam keterangan beberapa saksi kemalangan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Perincian mengenai keterangan saksi tidak boleh didedahkan. Polis juga ingin memohon saksi lain tampil secepat mungkin bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, BH difahamkan tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan itu. Kemudahan CCTV terdekat diletakkan di Kilometer 294 lebuh raya itu, iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian menyebabka­n ia tidak dapat merakam insiden berkenaan.

Kita komited mengesan dalang di sebalik penyebaran maklumat palsu bagi memastikan individu terbabit tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Fadzil Ahmat, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia