TOMM, firma Hong Kong labur RM1.47 bilion

Berita Harian - - Nasional -

Subang Jaya: The One Minerals Mining Sdn Bhd (TOMM) dan firma pelaburan Hong Kong, Via East West Capital (VEWC) melabur AS$350 juta (RM1.47 bilion) untuk melombong 2,833 hektar bauksit di Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

Perlombong­an mineral di atas tanah milik FELDA di Kota Tinggi yang dijangka bermula dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang itu akan dibahagika­n kepada lima bahagian, yang mana bahagian pertama merangkumi pelaburan bernilai AS$50 juta (RM210 juta) membabitka­n kawasan keluasan 404.7 hektar.

Pengarah Urusan TOMM, Looi Kam Yong, berkata projek itu yang mendapat kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), bakal mewujudkan 100 hingga 150 pekerjaan baharu bagi setiap 404.7 hektar kepada penduduk setempat.

Katanya, projek itu dijangka menghasilk­an sekitar 500,000 tan bauksit sebulan atau enam juta tan setahun untuk pasaran eksport ke China, Vietnam dan Korea Selatan.

“Perlombong­an yang bermula akhir tahun ini atau awal tahun depan dijangka menjana sekurang-kurang pendapatan cukai RM10 satu tan kepada kerajaan atau RM60 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis memeterai perjanjian persefaham­an (MOU) antara TOMM dan VEWC di Subang Jaya, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan VEWC, Oh Shen King dan Naib Presiden Kanan Pembanguna­n Perniagaan dan Korporat VEWC, Eric Leong Kai Hsien.

Kam Yong berkata, proses perlombong­an yang bakal dilaksanak­an TOMM adalah secara lebih digital dan mapan bagi mengelakka­n isu bauksit yang berlaku di Kuantan, Pahang serta pencemaran di Pasir Gudang, Johor berulang.

Katanya, pihaknya menilai permasalah­an yang berlaku di Kuantan sebelum memutuskan untuk meneroka tanah FELDA yang tidak lagi ekonomi untuk penanaman sawit, disebabkan wujudnya mineral di kawasan berkenaan.

“Kami akan melabur RM30 juta untuk mewujudkan jeti persendiri­an di kawasan sungai berhampira­n bagi tujuan mengangkut bauksit sebelum di hantar ke kapal untuk dieksport.

“Jeti berkenaan yang turut menempatka­n pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka siap dalam tempoh empat bulan lagi.

“Dengan adanya jeti ini, kami tidak akan menggunaka­n jalan darat seperti projek bauksit di Kuantan, sekali gus dapat mengelakka­n pencemaran. Malah, kawasan perlombong­an juga terletak tujuh kilometer dari kawasan penempatan,” katanya.

Beliau menjelaska­n sistem pengairan yang digunakan juga lebih efektif membabitka­n tiga kolam takungan untuk tujuan pembersiha­n sisa mineral berkenaan yang mana tidak akan memberi kesan kepada sungai berdekatan.

“Kami akan membuat pemantauan rapi setiap proses perlombong­an untuk mengelakka­n impak kepada alam sekitar dan penduduk setempat. Malah, tapak projek ini juga dikawal secara digital termasuk pemantauan satelit, dron, sistem pengesanan global (GPS), tiga dimensi dan haba untuk memastikan kawasan perlombong­an kekal mesra alam dan selamat,” katanya.

Sementara itu, Shen King berkata, VEWC yang menjadi pelabur majoriti dalam projek itu menjangkak­an aktiviti perlombong­an berkenaan bakal meraih pulangan pelaburan sehingga 60 peratus daripada keseluruha­n jumlah pelaburan dalam tempoh dua tahun.

Kam Yong (tengah) bersama Leong (kiri) dan Shen King pada majlis MOU antara TOMM dan VEWC di Subang Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.