Berita Harian

Kebakaran hutan punca bacaan IPU di Sarawak terjejas teruk

-

Kuching: Keadaan berjerebu di Sarawak semakin membimbang­kan ekoran kebakaran hutan dan belukar yang bertambah serius ketika ini.

Sejak 1 Ogos hingga semalam, sebanyak 370 kes dilaporkan dengan jumlah tertinggi harian dicatatkan semalam iaitu 65 kes.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata sehingga petang kelmarin, kawasan hutan dan belukar seluas 335 hektar terjejas akibat kebakaran.

Beliau berkata, berdasarka­n pecahan mengikut bahagian pentadbira­n, Kuching mencatatka­n kes kebakaran belukar tertinggi kelmarin dengan 19 kes, diikuti Sibu (11), Samarahan (7), Mukah (6), Betong (4), Sri Aman (3), Miri dan Bintulu masing-masing dua kes, manakala Sarikei satu kes.

“Operasi pemadaman berterusan dijalankan di tujuh kawasan dengan Kompleks Kebajikan Hamidah, di Kuala Baram, Miri mencatat operasi paling lama apabila memasuki hari ke-13, hari ini (semalam).

“Pemadaman di Kampung Sedi, Pulau Bruit, dalam Bahagian Mukah memasuki hari ketujuh,” katanya sambil memaklumka­n secara purata, pihaknya menerima 30 laporan kebakaran hutan dan belukar setiap hari.

Operasi lain yang masih diteruskan ialah di Taman Harmoni, Sri Aman dan Jalan Marudi-miri yang masuk hari kelima, manakala Kampung Sangki, Simunjan; Kampung Bungan, Mukah dan Kampung Tuie, Betong masuk hari keempat.

“Kebakaran hutan dan belukar itu turut mengancam kediaman berdekatan dengan sebuah rumah di Kampung Sedi, Pulau Bruit musnah sepenuhnya akibat api yang merebak dari belukar berdekatan manakala di sebuah rumah di Kampung Sangki, Simunjan turut mengalami kebakaran 10 peratus,” katanya.

Sementara itu, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua lokasi bandar raya Miri terjejas teruk apabila mencatat bacaan IPU berbahaya awal pagi semalam.

IPU yang direkodkan di Institut Latihan Perindustr­ian (ILP) Miri mengekalka­n tahap bahaya dengan bacaan 335 pada jam 5 petang semalam.

Tahap bahaya itu dikesan berlarutan sejak jam 1 pagi semalam dan berlaku kenaikan bacaan dalam tempoh setiap jam.

IPU di SK Kuala Baram 2 dikesan tidak konsisten apabila pada jam 11 pagi semalam ia berada di tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 266 direkodkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia