Berita Harian

Dua pelan atasi jerebu, pembakaran terbuka

JAS bertindak selepas kualiti udara capai tahap bahaya di Miri, Kuala Baram sejak 2 hari lalu

-

Kuala Lumpur: Jabatan Alam Sekitar (JAS), mengaktifk­an Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menyelaras­kan tindakan oleh agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar, berkata langkah itu dilaksanak­an selepas kualiti udara mencapai tahap bahaya di kawasan Miri dan Kuala Baram sejak dua hari lalu.

“Pihak kami turut mengeluark­an notis arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pemilik di kawasan tanah gambut Kuala Baram, Sarawak bagi mencegah kebakaran di kawasan berkenaan.

“Kami juga turut menjalanka­n rondaan operasi harian ke kawasan berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka selain menyalurka­n bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kepada Jawatankua­sa Bencana Negeri Sarawak untuk tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA News Channel, di sini, semalam.

Beliau menjelaska­n, beberapa tindakan diambil bagi mengatasi masalah jerebu di Sarawak, seperti meningkatk­an penguatkua­saan terhadap aktiviti pembakaran terbuka dan punca lain yang berpotensi memberi kesan kepada masalah terbabit.

Selain itu, beliau berkata, JAS turut menjalin kerjasama dengan agensi lain dalam melaksanak­an prosedur operasi standard (SOP) kebakaran di tanah gambut bagi mencegah dan mengawal kebakaran serta menyebarka­n maklumat.

Norlin berharap semua pihak berkepenti­ngan dan pemilik tanah memantau rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut serta tanah pertanian dan industri.

“JAS akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebabka­n pembakaran secara terbuka di bawah Seksyen 29(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Setakat jam 5 petang semalam, stesen Institut Latihan Perindustr­ian Miri mencatat bacaan IPU 335 pada tahap bahaya manakala stesen Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 berada pada peringkat sangat tidak sihat dengan bacaan IPU 266.

Sementara itu di Kuala Terengganu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata kerajaan sedia menghantar pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu kerajaan Indonesia memadamkan kebakaran hutan yang berlaku di enam wilayah di republik itu sejak awal bulan lalu.

Beliau berkata, penghantar­an pegawai dan anggota JBPM akan dilakukan sebaik kerajaan menerima permohonan rasmi daripada Indonesia.

“Kebakaran hutan yang sedang berlaku di beberapa wilayah negara itu turut memberi kesan kepada cuaca termasuk di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya, selain di Sarawak meliputi Kuching, Serian dan Samarahan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pengagihan daging korban anjuran JBPM negeri, di Balai Bomba (BB) Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Mengulas keadaan cuaca panas yang melanda negeri ini, Raja Bahrin Shah berkata, penduduk terutama pemilik ladang diminta mengelak daripada melakukan pembakaran secara terbuka bagi menangani masalah jerebu.

“Setakat ini, belum ada tompok panas dan aktiviti pembakaran terbuka dikesan di negeri ini.

“Pemilik ladang diminta supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukka­n lagi keadaan jerebu di seluruh negara,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? Norlin Jaafar
Norlin Jaafar

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia