Berita Harian

Sikap penting diri kian menebal dalam masyarakat

- Penulis adalah Penyunting Eksekutif Berita Harian

Ibarat jatuh ditimpa tangga. Itu nasib menimpa pemilik lori membawa susu, yang terbalik dalam kemalangan di Cabang Tiga Kampung Tawang, di Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

Akhbar tempatan melaporkan orang ramai berpusu-pusu, termasuk memberhent­ikan kenderaan masing-masing melihat kejadian itu. Malangnya bukan semua mahu membantu, sebaliknya ada sebahagian yang mengambil dan melarikan muatan tin susu yang bertaburan.

Bagi yang mengambil kesempatan melarikan makanan terbabit, ia amat mendukacit­akan kerana memperliha­tkan betapa rakus nafsu keinginan kepada mahukan barangan percuma.

Golongan ini sama sekali tidak mengendahk­an persoalan hukum. Rasulullah SAW pernah memberi amaran: “Akan sampai suatu zaman di mana manusia tidak lagi menghirauk­an dari sumber mana diperoleh hartanya, sama ada daripada yang halal atau yang haram” (Riwayat Al-bukhari).

Bayangkan dalam Islam, setiap harta yang dijumpai dan tidak diketahui pemilik pun tidak boleh kita nikmati sebelum melalui proses tertentu.

Islam mengajar umatnya sentiasa peka dan berhati-hati dalam apa juga harta diterima. Harta yang terjumpa juga pun belum tentu boleh dimanfaatk­an, apatah lagi menganggap ia sebagai ‘rezeki terpijak’ atau ‘durian runtuh’.

Dalam kejadian baru-baru ini, tular rakaman video berdurasi 34 saat memaparkan penduduk mengutip susu dari lori yang terbalik selepas terbabit kemalangan.

Mengikut laporan akhbar, pemilik lori, Azizan Zainudin, 57, tidak pernah memberi kebenaran susu itu diambil dan pada masa sama, merayu orang ramai supaya memulangka­nnya kembali kerana dia bakal berdepan kerugian RM120,000.

Sebenarnya, situasi ‘ambil kesempatan’ atas musibah dan kemalangan yang melanda bukan hanya merujuk kepada kes di atas, tetapi sudah banyak kali kita baca dan disiarkan media massa. Antaranya tindakan mengambil kesempatan ketika kebakaran, gempa bumi dan banjir, apabila ada yang mencuri barangan tuan rumah yang terpaksa ditinggalk­an.

Kejadian kes ini menunjukka­n sikap segelintir masyarakat kita hari ini yang tidak amanah. Pantang ada peluang, segera disambar tanpa menghirauk­an kesan luka dalam hati mangsa.

Penulis percaya sifat seperti itulah yang menjadi punca rasuah di negara kita sehingga kini masih gagal dibanteras, selain keterbabit­an dalam skim cepat kaya, skim piramid dan pelbagai skim menipu yang terus-menerus berkembang.

Justeru, nasihat penulis agar segera bertaubat dan pulangkan semula barang yang ‘dicuri’ kepada pemiliknya, walaupun ia bernilai hanya beberapa ringgit.

Walaupun sekali pandang, kes seperti itu kelihatan terpencil dan remeh, hakikatnya ia besar kerana memberi cerminan bahawa masyarakat kita amat kosong pengisian rohani dan etika, sehingga tergamak mengambil kesempatan atas kesusahan orang.

Ia juga membimbang­kan kerana memperliha­tkan sikap pentingkan diri sendiri sudah begitu hampir ke tahap kemuncak kejahatan.

Oleh itu, pihak berwajib atau yang mempunyai kuasa, sama ada pada peringkat keluarga, masyarakat, negeri dan negara tidak boleh memandang ringan insiden seperti ini kerana ia jelas memerlukan satu pelan terbaik untuk merawat pembanguna­n kerohanian, integriti dan etika masyarakat.

Janganlah suatu hari nanti masyarakat kita sampai ke tahap perlu menggunaka­n sistem kredit sosial atau shehui xinyong iaitu satu sistem baharu yang diperkenal­kan Kerajaan China untuk mengawal kelakuan rakyatnya yang bakal diperkenal­kan sepenuhnya menjelang 2020.

Ia adalah sistem penilaian sikap setiap rakyat China dengan setiap tingkah laku baik mereka akan diberi markah.

Semoga kita, termasuk diri penulis sendiri mampu berperanan dalam ruang lingkup kuasa masing-masing, selain berteriak untuk pihak itu dan pihak ini supaya bertindak. Jalan yang terbaik untuk memulihkan masalah ini adalah dengan bermula daripada diri dan keluarga sendiri.

Walaupun sekali pandang, kes seperti itu kelihatan terpencil dan remeh, hakikatnya ia besar kerana memberi cerminan bahawa masyarakat kita amat kosong pengisian rohani dan etika, sehingga tergamak mengambil kesempatan atas kesusahan orang.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia