Berita Harian

Stok minyak sawit Julai terendah tempoh 1 tahun

-

Stok akhir minyak sawit Malaysia susut di luar jangkaan pada Julai ke paras terendah bagi tempoh setahun, berikutan jumlah eksport mengatasi unjuran manakala import jatuh mendadak berbanding bulan sebelumnya.

Menurut data pengawal selia industri, penurunan stok mampu memberi sokongan kepada harga penanda aras minyak sawit, yang didagangka­n ke paras tinggi bagi tempoh tiga bulan, menjejaki keuntungan daripada harga minyak mentah dan ringgit yang lemah.

Harga minyak sawit Malaysia menokok 0.6 peratus kepada RM2,191 satu tan pada rehat tengah hari semalam, sedikit di bawah paras kemuncak RM2,199 yang dicatatkan sejak 22 April.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), paras inventori jatuh untuk bulan kelima berturut-turut kepada paras rendah setahun setakat akhir Julai kepada 2.39 juta tan, susut 0.8 peratus daripada Jun.

Eksport minyak sawit Malaysia menokok 7.4 peratus pada Julai berbanding bulan sebelumnya kepada 1.49 juta tan, sementara import menyusut kepada 36,664 tan daripada 101,250 tan pada Jun.

“Penyusutan stok disebabkan import lebih rendah dari Indonesia. Diskaun kepada sawit Malaysia juga mengecil menjadikan­nya tidak ekonomik untuk diimport ke Malaysia,” kata peniaga berpangkal­an di Singapura.

Kejatuhan stok berlaku meskipun pengeluara­n meningkat 15.1 peratus pada Julai kepada 1.74 juta tan, paras pengeluara­n bulanan tertinggi tahun ini.

Ia juga menjadi peningkata­n pengeluara­n terbesar bagi asas bulan ke bulan sejak Mac 2018.

“Corak peningkata­n pengeluara­n pada enam bulan pertama tahun ini menunjukka­n kepada paras tertinggi. Taburan hujan lebih baik tahun lalu membantu pengeluara­n lebih baik,” kata peniaga itu.

“Pengeluara­n setahun penuh mungkin melepasi 21 juta tan. Stok akan terus melepasi 2.2 juta tan dan ia meningkat apabila memasuki suku tahun terakhir tahun ini yang mana turut menjadi kemuncak pengeluara­n kepada Indonesia.”

Menurut data MPOB, Malaysia menghasilk­an 9.79 juta tan sawit pada separuh pertama tahun ini, naik daripada 8.9 juta tan bagi tempoh sama tahun lalu.

Berdasarka­n tinjauan Reuters awal tahun ini, jumlah pengeluara­n Malaysia pada 2019 berada pada 20 juta tan.

REUTERS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia