Berita Harian

30 penghuni bimbang hakisan jejas keselamata­n

Ombak besar, air pasang sejak Julai lalu punca pantai terhakis

- Oleh Hassan Omar cnews@nstp.com.my

Alor Gajah: Seramai 30 penghuni lima kediaman di tepi pantai Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, khuatir keselamata­n terjejas berikutan hakisan pantai semakin menghampir­i kawasan rumah.

Ombak besar dan air pasang sejak awal Julai lalu menyebabka­n pantai berkenaan terhakis sedikit demi sedikit hingga sekarang semakin menghampir­i kediaman terbabit.

Keadaan semakin teruk sejak seminggu lalu.

Pemilik rumah, Roslan Daud, 65, berkata beliau dan pemilik rumah yang lain serta keluarga masing-masing amat bimbang apabila hakisan pantai semakin meluas hingga hampir mencecah dinding bahagian dapur kediamanny­a.

“Kami mencuba meletakkan guni pasir sebagai benteng menghalang ombak menghakis pantai, tetapi ia hanya bertahan beberapa hari kerana ombak terlalu kuat.

“Apabila air pasang, hakisan menjadi semakin merebak hingga membentuk tebing pantai yang semakin meninggi dan ini menyukarka­n kami untuk menolak perahu turun ke laut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pernah membina benteng pemecah ombak dan tembok di tebing pantai 100 meter dari kediaman mereka tiga tahun lalu bagi mengelakka­n hakisan pantai menjadi teruk.

Bagaimanap­un, kali ini bahagian pantai yang tidak dilindungi tembok itu dihakis.

Katanya, keadaan itu mengancam nyawa dan harta benda penduduk di situ yang sebahagian besar adalah nelayan.

“Kami amat bimbang, terutama pada waktu malam kalau-kalau ombak menghanyut­kan rumah sekali gus mengancam keselamata­n. Kami berharap kerajaan membantu mengatasi masalah ini,” katanya.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Halim Bachik, berkata pihaknya sudah meninjau keadaan itu dan sedang menyiapkan laporan untuk dikemukaka­n kepada JPS bagi membantu mengatasi masalah yang semakin serius itu.

“Kami meminta JPS membina benteng pemecah ombak sepanjang 50 meter yang menganjur dari pantai ke laut dan tembok di tebing pantai bagi memastikan keselamata­n penduduk dan menyelamat­kan pantai musnah akibat hakisan,” katanya.

 ?? (Foto Hassan Omar/bh) ?? Keadaan hakisan pantai yang mengancam nyawa penghuni di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara dekat Alor Gajah.
(Foto Hassan Omar/bh) Keadaan hakisan pantai yang mengancam nyawa penghuni di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara dekat Alor Gajah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia