Berita Harian

Ammar tak malu pergi sesi uji bakat

Gigih mencari peluang, pelakon sitkom Pop Yeah Yeah hargai kesetiaan teman hidup

- Oleh Hanisah Selamat hanisah@bh.com.my

Tiga tahun menyulam bahagia ditambah kehadiran si kecil sebagai penyeri rumah tangga membuatkan Ammar sentiasa mensyukuri kehidupan.

Walaupun perlu bertatih mencari peluang dalam kerjaya seni sejak lima tahun lalu, pelakon, pelawak dan pengacara itu mengaku bertuah dikurniaka­n teman hidup yang sangat memahami.

Keperibadi­an isterinya, Nur Amalina Jamil yang sentiasa positif selain memberi sepenuh kepercayaa­n kepadanya walaupun dalam saat sukar, dijadikan penguat semangat.

Namun, ada kalanya Ammar atau nama penuhnya, Azizul Ammar Abu Hassan, 32, cuba menguji disebabkan wanita kesayangan­nya itu sukar menunjukka­n rasa cemburu..

Akuinya, situasi itu kadang kala mendorongn­ya terpaksa berpura-pura membuat ‘perangai’ semata-mata mahu menguji perasaan isterinya.

“Alhamdulil­lah, rumah tangga kami sudah memasuki tahun ketiga. Sepanjang tempoh itu, isteri antara tulang belakang yang menjadi sumber kekuatan.

“Dia sangat memahami, terbuka, sentiasa menjadi pendengar setia dan selalu ada penyelesai­an dalam setiap permasalah­an.

“Cuma ada kalanya, saya tertanya-tanya kenapa dia tak tunjuk perasaan cemburu, walaupun saya selalu mengujinya dengan pelbagai helah.

“Semua itu bagaimanap­un, hanya usikan. Isteri faham saya suka menyakat. Paling pasti, kasih sayang dan kepercayaa­n mengukuhka­n lagi rumah tangga kami,” katanya.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017 dan dikurniaka­n cahaya mata perempuan yang berusia setahun.

Ammar berkata, komunikasi dua hala tanpa menyimpan sebarang rahsia antara petua yang diamalkan sejak bergelar suami isteri.

Bagi bekas penyampai Hot FM itu lagi, pergolakan mahu pun perceraian dalam kalangan rakan artis menyuntik pengajaran kepada mereka supaya sentiasa menghargai satu sama lain.

Demi dua bidadari hatinya, Ammar yang dicungkil bakatnya dalam program Bintang Mencari Bintang, mahu kembali mengatur langkah sebagai pelakon dan pengacara, mulai tahun ini.

Ammar mengaku tidak malu turun naik syarikat produksi bagi menjalani sesi uji bakat lakonan dan pengacaraa­n demi kelangsung­an kerjaya seni.

Tambahnya, ramai bakat lain yang lebih menyerlah membuatkan­nya enggan berpeluk tubuh mengharapk­an tawaran bergolek di hadapan mata.

“Sebagai suami dan bapa kepada seorang cahaya mata, saya perlu melipatgan­dakan usaha, apatah lagi bidang seni adalah pilihan sendiri.

“Selain tidak berhenti belajar daripada mereka yang lebih berpengala­man, saya juga kena rajin menjalani uji bakat untuk melihat sejauh mana kemampuan saya.

“Bagi saya, sesi seperti itu menjadi ruang pembelajar­an dan menimba pengalaman tidak kira terpilih atau sebaliknya.

“Saya tak kisah pun keluar masuk mana-mana syarikat produksi atau ke lokasi uji bakat kerana percaya rezeki tetap ada asalkan kita tak jemu berusaha,” katanya.

Terdahulu, bakatnya di arena seni menyerlah selepas menyertai program Bintang Bersama Bintang sebelum menyertai Hot FM sebagai penyampai radio.

Selepas tiga tahun bersama stesen radio berkenaan, Ammar, beralih kepada dunia seni sepenuh masa bermula 14 Februari lalu.

Akuinya, walaupun berdepan cabaran, berkat doa keluarga dan isteri, pelbagai tawaran diterima dalam bidang lakonan dan pengacaraa­n.

“Sebelum ini, saya baru selesai melunaskan tanggung jawab sebagai hos untuk beberapa program, termasuk Spotlight di bawah syarikat Fauziah Ahmad Daud dan sebuah ‘gameshow’.

“Terbaru, saya turut membintang­i sitkom Pop Yeah Yeah yang disiarkan menerusi TV3 pada setiap Sabtu bermula 3 Ogos lalu.

“Rezeki bersama sitkom ini datang selepas saya menjalani uji bakat bagi sebuah projek lain. Akhirnya, saya dipilih untuk penerbitan kedua syarikat produksi terbabit.

“Ketika dimaklumka­n mengenai pemilihan itu, saya terkejut, namun teruja kerana berpeluang berlakon dalam sitkom istimewa seperti itu,” katanya lagi.

Selain watak komedi, Ammar yang menjadikan pelakon prolifik Sabri Yunus sebagai mentor menyatakan kesediaan membawakan karakter lebih berat pada masa akan datang.

Akuinya, dalam lakonan, seseorang anak seni itu perlu mempunyai kemampuan menggalas sebarang karakter dengan berkesan.

“Sejak dulu, Sabri ialah idola saya disebabkan kredibilit­inya sebagai aktor serba boleh yang disegani ramai.

“Berilah apa saja dia mampu melakonkan dengan baik hingga setiap kali dramanya disiarkan, orang akan bercerita mengenai karakter itu.

“Saya tidak malu mengekori Sabri ke mana-mana saja semata-mata mahu menimba ilmu, termasuk kerja pengarahan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai perancanga­n masa depan, Ammar mengimpika­n duduk di kerusi sutradara, selain melanjutka­n pengajian di peringkat Sarjana.

 ??  ??
 ?? (Foto Rohanis Syukri/bh) ??
(Foto Rohanis Syukri/bh)
 ??  ?? Ammar bersama barisan pelakon utama sitkom Pop Yeah Yeah.
Ammar bersama barisan pelakon utama sitkom Pop Yeah Yeah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia