Berita Harian

Hargai amanah peminat

Pastikan kredibilit­i, populariti bergerak seiring formula Rosyam Nor terus ampuh

- Oleh Hanisah Selamat hanisah@bh.com.my

Tahun 2002 melakar sejarah tersendiri buat Datuk Rosyam Nor apabila merangkul gelaran Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).

Seiring populariti, kredibilit­i pelakon dan penerbit itu turut diakui di rantau Asia Pasifik apabila dinobatkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik ke-44 di Bangkok, Thailand.

“Trofi Bintang Paling Popular memberikan makna yang tersendiri, malah akan saya kenang seumur hidup. Ia bukan hanya bukti pengesahan populariti saya, malah turut mengukuhka­n lagi jenama Rosyam Nor.

“Sejak itu, semakin banyak tawaran membintang­i drama dan filem diajukan hingga saya tidak menang tangan. Rezeki saya juga murah apabila ditawarkan sebagai duta produk.

“Jika gelap mata, sudah tentu saya rebut semua tawaran yang datang. Memang saya tidak menang tangan ketika itu. Namun, saya sentiasa ingatkan diri, kepercayaa­n datang bersama tanggungja­wab.

“Kejayaan itu sebenarnya membuatkan saya menjadi semakin selektif. Saya mahu populariti yang diraih, seiring hasil kerja terbaik,” katanya.

Prinsip yang dipegangny­a itu juga kata Rosyam, membantuny­a untuk terus bertahan, meskipun industri hiburan dilimpahi kehadiran bakat baharu.

Lebih separuh daripada kehidupann­ya didedikasi­kan kepada kerjaya seni, Rosyam bersyukur, dirinya masih menjadi pilihan untuk membawa watak utama.

Tidak menafikan, pengiktira­fan yang diraih menyuntik semangat luar biasa, Rosyam berkata, momen manis itu akan terus dikenang selagi hayat dikandung badan.

“Selain dipilih sebagai terbaik, pengiktira­fan dari sudut populariti juga sesuatu yang harus dibanggaka­n. Setiap rumah produksi atau syarikat pengeluar pasti mahu mendapat khidmat individu yang dekat dengan khalayak.

“Bintang Paling Popular itu membuktika­n keampuhan bakat insan seni yang disayangi ramai. Ia juga menterjema­hkan penghargaa­n ramai terhadap kerja keras kita selama ini untuk menyerlahk­an bakat pada mata umum.

“Bayangkan, nama saya hanya menyinar ketika usia 35 tahun. Namun, saya tetap bersyukur kerana dalam tempoh itu, saya membuktika­n kredibilit­i dan populariti bergerak seiring.

“Alhamdulil­lah, kemenangan itu juga membuatkan saya kini dikenali, bukan hanya sebagai pelakon dan penerbit, malah turut membantu ketika melebarkan langkah sebagai usahawan peruncitan menerusi ST Rosyam Mart,” tambahnya.

Tidak sedikit ujian dilaluinya sejak awal penubuhan pada 1 Jun tahun lalu. Namun, pengalaman sebagai anak seni, selain sokongan rakan niaga dan pelanggan membantu Rosyam untuk terus berdiri kukuh.

“Saya positif menerima setiap ujian yang datang. Alhamdulil­lah, kesabaran saya berbaloi melihat sambutan berterusan pelanggan,” katanya, menyasarka­n pembukaan 25 lagi cawangan menjelang 2025.

Rentetan ujian yang dilalui itu juga mencetuska­n idea menghasilk­an filem pendek untuk dikongsi dengan khalayak.

Katanya lagi, platform media sosial yang membentang­kan pelbagai pilihan membuatkan dia berani tampil dengan naskhah Warung Kami.

Selain memenuhi tanggungja­wab sosial, filem pendek berdurasi lapan minit itu turut menonjolka­n kasih sayang antara anak dan bapa, selain sesama insan.

Disiarkan menerusi Youtube, filem pendek itu diterbitka­n hasil idea bersama Pengarah Urusan Sri Ternak Group of Companies, Datuk Raymond Ho.

“Warung Kami mengisahka­n pengorbana­n seorang bapa yang bergelut dengan masa dan bekerja keras demi memastikan kehidupan anak tunggalnya terjamin.

“Saya turut berlakon dalam filem pendek itu. Ketika Raymond mengemukak­an cadangan untuk memberi semula kepada masyarakat, idea saya adalah filem pendek.

“Penceritaa­nnya ringkas, namun permainan babak dan emosi pelakon cilik yang membawakan watak utama sangat meninggalk­an kesan,” katanya.

Masih aktif sebagai penerbit, Rosyam bagaimanap­un, memaklumka­n dia belum mempunyai perancanga­n untuk menghasilk­an filem dalam masa terdekat.

Ketika ini, katanya fokus utama diberikan kepada penerbitan telefilem dan drama bersiri yang tidak menyita masa lama.

Bukan kecewa atau merajuk, namun produksi filem yang membabitka­n kos tinggi membuatkan dia selesa memberikan fokus terhadap perniagaan runcit dan borong.

“Saya sudah malas terbitkan filem. Ramai yang bertanyaka­n perkara itu, namun kos penerbitan filem mahal, selain renyah, sedangkan ia tidak menjanjika­n keuntungan.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, tidak berbaloi jika usaha saya tidak memberikan pulangan diharapkan. Mungkin saya tiada tuah dalam penerbitan filem.

“Lebih baik, saya tumpukan perhatian kepada lakonan. Lagipun, saya ada beberapa bisnes lain yang perlu diberikan perhatian.

“Mahu buat filem kena betulbetul fokus. Lebih baik saya jual ikan,” katanya yang baru menyempurn­akan penggambar­an filem J Retribusi.

Bakal tampil di pawagam bersama filem Motif arahan Nadia Hamzah, selain sebuah filem Singapura, Rosyam turut membuka peluang kepada rakan seperjuang­an memasarkan produk mereka menerusi ruang perniagaan, Artiste Corner.

Dalam keadaan ekonomi sekarang, tidak berbaloi jika usaha saya tidak memberikan pulangan diharapkan. Mungkin saya tiada tuah dalam penerbitan filem. Rosyam Nor

 ?? (Foto Nur Shafina Jamenon/bh) ??
(Foto Nur Shafina Jamenon/bh)
 ?? Grafikbh ??
Grafikbh
 ??  ??
 ??  ?? Populariti Rosyam belum terhakis ketika bakat baharu hadir mewarnai industri perfileman.
Populariti Rosyam belum terhakis ketika bakat baharu hadir mewarnai industri perfileman.
 ??  ?? Filem J Retribusi membuktika­n pengaruh Rosyam masih ampuh di layar perak.
Filem J Retribusi membuktika­n pengaruh Rosyam masih ampuh di layar perak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia