Berita Harian

Keunikan wakaf beri manfaat semua kaum

Kaedahnya perlu dipelbagai serta lebih inovatif

- Oleh Latifah Arifin latifah@bh.com.my

Manfaat wakaf begitu besar sehingga ia bukan sekadar antara instrumen dalam kewangan Islam, bahkan diterima di seluruh dunia termasuk di Barat yang melihatnya sebagai sistem sangat sistematik dan dapat membangunk­an ekonomi secara konsisten dan terancang.

‘Wakaf ’ gaya Barat menggunaka­n konsep endowment di bawah peraturan konvension­al dan berjaya menarik golongan jutawan dan hartawan untuk menyertain­ya.

Orang ketiga terkaya di dunia, Warren Buffett yang direkodkan mempunyai harta bernilai AS$91.3 bilion (RM382.6 bilion) turut mewasiatka­n 99 peratus hartanya untuk tujuan endowment (pembiayaan dan dana kebajikan).

Buffet turut melancarka­n kempen secara dalam talian untuk menggalakk­an hartawan di Amerika Syarikat (AS) mewasiatka­n separuh daripada harta mereka selepas meninggal dunia.

Pengerusi Khadijah Internatio­nal Waqf (L) Foundation, Rohani Mohd Shahir, berkata perkembang­an konsep seperti wakaf yang sedang rancak di Barat perlu juga dibangunka­n dalam kalangan umat Islam.

“Bayangkan sekiranya dunia Islam diyakinkan kehebatan wakaf kerana melaluinya bukan sahaja orang kaya, bahkan seluruh masyarakat akan mendapat manfaat.

“Barat termasuk Bank Dunia nampaknya ambil peduli terhadap kewangan Islam, bahkan menjangkak­an nilai wakaf di seluruh dunia boleh mencecah AS$1 trilion (RM4.2 trilion) pada masa depan.

“Justeru, sepatutnya perkara ini lebih mendapat perhatian umat Islam kerana instrumen wakaf bukan sahaja menjanjika­n manfaat di dunia, bahkan kita melakukann­ya kerana mengingink­an pahala terus subur hingga akhirat,” katanya.

Beliau yang juga perunding kewangan Islam itu berkata, dalam konteks kewangan sosial Islam hari ini, ekonomi negara bukan sahaja dipacu sektor kerajaan dan swasta, bahkan faktor ketiga yang menyokong adalah melalui wakaf.

“Wakaf sebenarnya amat unik kerana ia tidak memberikan hak kepada sesiapa kerana semuanya milik mutlak Allah SWT.

“Sistem ekonomi bertunjang­kan Allah SWT adalah yang terbaik kerana tidak lagi berlaku cuma orang kaya boleh mewah kerana memiliki segala-galanya.

“Justeru, konsep wakaf perlu difahami kerana ia memberi manfaat kepada seluruh ummah, iaitu setiap orang Islam menyumbang bukan untuk diri atau keluarga sahaja, bahkan kepada orang sekeliling­nya,” katanya.

Rohani berkata, tidak dinafikan masih wujud tanggapan wakaf sekadar membabitka­n tanah kubur dan pembanguna­n masjid.

“Ramai tidak tahu munculnya fatwa kontempora­ri yang mempelbaga­ikan kaedah wakaf termasuk membenarka­n pelaksanaa­n wakaf tunai.

“Maka, wakaf dalam bentuk wang tunai dibenarkan dengan syarat ia mesti diusaha atau dilaburkan dan jika dilaburkan, modal asasnya perlu dipastikan tidak terhakis langsung.

“Daripada pulangan itu, barulah boleh boleh disumbangk­an misalnya untuk membangunk­an hospital atau pusat perubatan wakaf untuk membantu golongan memerlukan,” katanya.

Rohani berkata, bagi memastikan pertumbuha­n wakaf berlaku secara terancang dan sistematik, perlu ada pembaharua­n terutama memperkena­lkan produk wakaf yang lebih inovatif.

“Sebenarnya hampir semua aspek boleh diwakafkan daripada hospital dan konsesi tol hingga pendidikan rakyat melalui universiti.

“Jadi, inisiatif wakaf boleh membantu masyarakat termasuk bukan Islam yang rata-ratanya tertekan dengan kelembapan ekonomi mutakhir ini.

“Wakaf perlu diperluask­an supaya landskapny­a berjalan secara menyeluruh, iaitu rakyat mendapat manfaat bermula kelahiran di hospital wakaf, kemudian membesar dan mendapat pendidikan di sekolah dan universiti wakaf, membeli rumah dibangunka­n atas tanah wakaf dan mati melalui tanah kubur diwakafkan,” katanya.

Tambahnya, untuk merealisas­ikan perkara itu, bukan mustahil sekiranya dapat diyakinkan rakyat Malaysia untuk menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.

“Cukup jika pada peringkat permulaan, seorang rakyat Malaysia menyumbang RM10 seorang yang antara usaha baik untuk mengajak setiap orang berwakaf.

“Langkah ini sebenarnya baik kerana wang dikumpul boleh dibuat membeli tanah seperti diamalkan di Jakarta yang banyak tanah milik wakaf, sekali gus hak miliknya tidak boleh diganggu-gugat.

“Jika wakaf tunai dapat dijalankan dengan berkesan, sumber atau hasilnya dapat dimanfaatk­an untuk membangunk­an banyak tanah wakaf terbiar,” katanya.

Beliau menjelaska­n Grand Bazar di Turki dibangunka­n menggunaka­n mekanisme wakaf dengan hasil sewaan kedai menjadi dana untuk disumbang bagi manfaat rakyatnya.

Beliau berkata, dalam memastikan sokongan dan dukungan instrumen wakaf dapat diperluask­an, ia memerlukan bukan sahaja keazaman politik pemerintah, bahkan perlu diperbanya­kkan kempen.

“Paling terbaik jika dimulakan pada peringkat Majlis Agama Islam Negeri seperti membangunk­an projek wakaf untuk tujuan pendidikan dan perubatan.

“Apabila rakyat lihat dan meneliti perkembang­an ini, mereka akan mula faham. Bayangkan sekiranya tiada contoh untuk dirujuk, jadi ramai keliru bagaimana mekanisme dan proses wakaf ini berlaku.

“Jika tahap pembanguna­n wakaf dan kesedaran masyarakat semakin baik, tidak mustahil sekiranya semua kemudahan disediakan untuk rakyat boleh didapati secara percuma dengan mendahuluk­an mereka yang memerlukan seperti golongan asnaf,” katanya.

Rohani berkata, Islam sebenarnya menyediaka­n penyelesai­an amat baik untuk memperbaik­i kehidupan, sekali gus memperting­katkan tahap ekonomi umat Islam.

“Wakaf sebenarnya lebih besar skopnya jika dibandingk­an zakat. Wakaf boleh dilaksanak­an hingga kepada satu pertiga daripada harta kita dengan zakat cuma 2.5 peratus sahaja.

“Malah, pahala daripada hasil wakaf mengalir hingga kiamat seperti tahfiz menggunaka­n tanah dan dana wakaf, pewakaf yang sudah meninggal dunia akan mendapat pahala sekiranya premis itu masih digunakan untuk anak tahfiz,” katanya.

 ?? [Foto hiasan] ?? Hampir semua aspek boleh diwakafkan, daripada hospital dan konsesi tol hingga pendidikan rakyat melalui universiti.
[Foto hiasan] Hampir semua aspek boleh diwakafkan, daripada hospital dan konsesi tol hingga pendidikan rakyat melalui universiti.
 ??  ?? Rohani Mohd Shahir
Rohani Mohd Shahir

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia