Berita Harian

Anas sedia ‘paling tadah’

-

Kuala Terengganu: Pertahanan tengah Terengganu FC (TFC), Nasrullah Haniff Johan mahu melupakan seketika ikatan persaudara­an apabila menentang Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Sebaliknya, pemain yang berasal dari Negeri Sembilan itu berazam mahu meneruskan aksi terbaiknya dalam misi membantu TFC meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Kumpulan A.

Pemain yang memulakan kariernya bersama skuad Piala Presiden Negeri Sembilan itu juga sudah bersedia menutup ruang bagi memastikan rangkaian penyerang lawan tidak dapat bergerak bebas sekali gus mengelak pintu gol pasukan dibolosi.

“Sudah tentu kami tidak mahu melepaskan peluang mencatat kemenangan ketiga bagi mengukuhka­n kedudukan di tangga teratas kumpulan untuk mengintai peluang lebih awal ke suku akhir.

“Selepas rakan sepasukan beraksi cemerlang pada dua aksi terdahulu terutama ketika bermain dengan 10 pemain menewaskan Kedah tempoh hari, saya percaya kami mampu mengutip tiga mata lagi.

“Walaupun menentang negeri sendiri, saya tetap akan menyajikan aksi terbaik dan lebih penting mahu pastikan pintu gol tidak bolos,” katanya. Berdasarka­n kedudukan terkini, naib juara Piala Malaysia musim lalu itu memimpin kumpulan dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan dengan menumpaska­n PKNS 3-1 dan Kedah 2-0.

Nasrullah yang pernah menyarung jersi DRB Hicom pada 2016 sebelum ke Terengganu mengakui gandingann­ya dengan bekas pemain import Terengganu FC II, Serhii Andrieiev kian serasi.

“Gandingan dengan Andrieiev semakin baik dan sudah memahami corak permainan pemain itu biarpun wujud masalah komunikasi sedikit kerana Andrieiev tidak fasih berbahasa Inggeris,” kata Nasrullah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia