Berita Harian

Warga emas antara ditahan buat senjata api

-

Kota Kinabalu: Warga emas antara lapan yang ditahan dalam beberapa siri serbuan polis di Ranau membabitka­n rampasan pelbagai jenis senjata api buatan sendiri.

Rampasan dan tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota polis cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau pada 6 dan 7 Ogos lalu.

Timbalan Pesuruhjay­a Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata tangkapan dan rampasan itu susulan satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Kinaratuan pada jam 2.30 pagi, 6 Ogos lalu.

Katanya, dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 60-an bersama pelbagai jenis senjata api termasuk bakakuk, senapang angin dan pistol serta pelbagai jenis peluru selain beberapa peralatan membersihk­an senapang yang disimpan di rumah, stor dan sebuah pondok berhampira­n rumah berkenaan.

“Serbuan pertama dilakukan di rumah berkenaan dan dua lelaki ditahan berusia 61 dan 41 tahun bersama beberapa senjata api buatan sendiri.

“Hasil maklumat daripada tangkapan itu, polis membuat pemeriksaa­n di sebuah stor yang terletak di belakang rumah dan merampas pelbagai jenis bakakuk dan peralatan tangan dipercayai digunakan untuk membuat senjata api berkenaan.

“Maklumat lanjut membawa kepada penemuan satu lagi pondok yang terletak kira-kira 105 meter dari rumah berkenaan dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 20-an serta merampas beberapa senjata jenis bakakuk, senapang angin, peluru dan beberapa telefon bimbit,” katanya pada sidang media di IPK Sabah, di sini, semalam.

Zaini berkata, susulan tangkapan di Kampung Kinaratuan itu, polis membuat serbuan di beberapa rumah di Kampung Tanah Merah, Kampung Kapatahan Bundu Tuhan, Kampung Debut dan Kampung Lohan Ulu yang membawa kepada penahanan empat lagi lelaki berusia lingkungan 46 hingga 83 tahun.

“Dalam tangkapan ini, polis turut merampas pelbagai jenis senjata api termasuk senapang angin, revolver, remington serta pelbagai jenis peluru.

“Susulan tangkapan itu, satu lagi tangkapan dibuat membabitka­n seorang anggota tentera berusia 30-an di Kem Tentera Lok Kawi untuk membantu siasatan dan dipercayai mereka adalah pembeli senapang yang dibuat suspek dalam tangkapan pertama” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia