Berita Harian

3 bidang fokus utama APEC 2020

Malaysia terajui integrasi ekonomi serantau menerusi perdaganga­n, pelaburan bebas

-

Kuala Lumpur: Tiga bidang keutamaan, iaitu integrasi ekonomi serantau, keterangku­man dan teknologi, inovasi serta kelestaria­n, akan menjadi fokus utama Malaysia apabila menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Pemilihan tiga bidang berkenaan pada sidang kemuncak tahun depan itu, berikutan cabaran yang semakin meningkat dalam persekitar­an ekonomi global.

Daripada perang perdaganga­n kepada dasar perlindung­an serta kelembapan ekonomi dunia, APEC 2020 akan mengorak bahagian seterusnya dalam 10 tahun, selepas matlamat Bogor berjaya mewujudkan keterbukaa­n serta kebebasan dalam perdaganga­n dan pelaburan.

APEC 2020 Malaysia dijangka menzahirka­n salah satu inisiatif utama forum terbabit.

Sebagai tuan rumah, Malaysia berpeluang menerajui kepemimpin­an dalam integrasi ekonomi serantau, menerusi perdaganga­n dan pelaburan lebih bebas dan terbuka.

Ia berikutan rantau ini sedang berhadapan dengan kelembapan, perang perdaganga­n di antara Amerika Syarikat (As)-china dan krisis perdaganga­n membabitka­n Korea Selatan serta Jepun.

AS, China, Korea Selatan dan Jepun adalah kuasa ekonomi dalam APEC dan amat wajar Putrajaya mempengaru­hi 21 ekonomi anggota APEC, bagi meneruskan dasar keterbukaa­n yang akan memanfaatk­an negara sedang membangun dan perindustr­ian.

Matlamat Bogor diasaskan pada 1994 di Bogor, Indonesia, di mana ekonomi anggota membuat komitmen untuk mencapai perdaganga­n dan pelaburan yang bebas serta terbuka menjelang 2010, bagi negara perindustr­ian dan 2020 untuk negara sedang membangun.

Selain usaha bagi meningkatk­an Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semua anggota, Putrajaya juga berada dalam kedudukan terbaik bagi memastikan penyertaan ekonomi domestik dalam pembekalan barangan termasuk perkhidmat­an, di samping mempamerka­n keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

APEC akan menjadi pentas dalam menyediaka­n peluang untuk perusahaan itu belajar mengenai dasar dan amalan terbaik, serta mewujudkan sinergi di antara PKS tempatan dengan perusahaan dari ekonomi anggota APEC.

Ia berikutan fungsi PKS sebagai enjin pertumbuha­n dan inovasi dalam wilayah APEC, dengan perusahaan berkenaan merangkumi 97 peratus daripada perniagaan dan mengupah lebih daripada separuh tenaga kerja dalam ekonomi APEC.

Malaysia perlu mengambil kesempatan semasa dalam tempoh setahunnya sebagai pengerusi APEC bermula Disember depan, bagi memastikan sasaran sumbangan 41 peratus daripada PKS kepada KDNK negara menjelang 2020 tercapai, seperti divisikan di bawah Dasar Keusahawan­an Negara 2030.

Pada 2018, PKS menyumbang sebanyak 38.3 peratus kepada KDNK, iaitu AS$126.3 bilion (RM521.7 bilion) berbanding 37.8 peratus atau AS$117.9 bilion (RM491.2 bilion) pada 2017.

Keterangku­man dan ekonomi digital tidak kurang pentingnya sebagai e-dagang, merujuk kepada urus niaga produk dan perkhidmat­an internet, yang akan terus kekal dalam ekonomi semasa serta transaksi pada masa depan.

Dianggap satu inisiatif baharu pada abad ke-21, platform e-dagang sentiasa menjadi topik popular, berikutan keupayaann­ya sebagai pemboleh yang kuat bagi syarikat mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (MPKS).

E-dagang juga salah satu segmen perdaganga­n dunia yang paling cepat berkembang, iaitu daripada sifar kepada nilai yang dianggarka­n sebanyak AS$1.92 trilion sekarang.

Inovasi dan kelestaria­n pula amat penting bagi memastikan keselamata­n makanan, sebagai satu ekonomi kitaran dan sebagai tenaga mampan.

Berdasarka­n inisiatif berkenaan, Malaysia sebagai tuan rumah APEC mahu memupuk rasa bangga dalam kalangan 31 juta rakyatnya, bukan sahaja sekadar warga negara penganjur, tetapi juga untuk memastikan kemantapan ekonomi selama satu dekad selepas 2020.

Sebagai tuan rumah, Malaysia berpeluang meletakkan namanya sebagai sebahagian daripada inisiatif APEC selepas Matlamat Bogor disohorkan.

APEC dianggotai Malaysia, AS, Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Russia, Singapura, Korea Selatan, Chinese Taipei, Thailand dan Vietnam. BERNAMA

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia