Berita Harian

3 menteri bantah ceramah Zakir

Kenyataan dikeluarka­n penceramah boleh gugat hubungan kaum

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Ahmad Suhael Adnan bhnews@nstp.com.my

Putrajaya: Tiga menteri Kabinet semalam mahu penceramah bebas, Dr Zakir Naik, tidak lagi dibenar mengadakan ceramah dan mengeluark­an sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteram­an awam di negara ini.

Malah, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Menteri Sumber Manusia, M Kulasegara­n dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, senada supaya Zakir tidak terus berada di negara ini.

Dalam satu kenyataan bersama, Gobind dan Kulasegara­n berkata, isu menyelubun­gi Dr Zakir yang menimbulka­n kontrovers­i termasuk ceramah di Kota Bharu, Kelantan dibincangk­an pada mesyuarat Kabinet, semalam.

“Kami menyatakan pendirian yang mana tindakan perlu diambil iaitu Dr Zakir tidak boleh dibenarkan terus berada di Malaysia.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil maklum kebimbanga­n kami ini. Kami serahkan kepada beliau mempertimb­angkan kedudukan dan membuat keputusan segera apa yang akan dilakukan untuk menangani masalah ini,” katanya.

Mereka turut menyatakan kebimbanga­n berkenaan kenyataan dan ucapan Dr Zakir yang kontrovers­i.

“Justeru, kami membantah ceramah atau acara membabitka­n Dr Zakir di negara ini diadakan atau mengeluark­an sebarang kenyataan yang boleh memberi kesan kepada hubungan kaum dan ketenteram­an awam,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq juga setuju supaya Dr Zakir dihantar pulang ke India susulan kenyataan kontrovers­inya terhadap kaum India dan Cina.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan serangan Dr Zakir Naik terhadap orang Cina dan India di negara ini adalah serangan terhadap semua rakyat Malaysia.

Syed Saddiq berkata, Dr Zakir Naik tidak wajar mempersoal­kan kerakyatan orang Cina kerana mereka sebahagian daripada rakyat Malaysia bukannya tetamu.

“Rakyat keturunan Cina di Malaysia bukan ‘tetamu’ tetapi adalah warga negara Malaysia yang cintakan negara ini. Mereka tidak boleh mempersoal­kan kesetiaan rakyat Malaysia.

“Saya tahu ramai orang Cina dan India yang sanggup mati demi negara yang mereka cintai ini. Tidak masuk akal untuk menganggap rakyat Malaysia itu adalah tetamu saya. Mereka adalah keluarga saya. Cukuplah,” katanya.

Sementara itu, Dr Zakir mendakwa ucapannya mengenai kaum India di negara ini, diputar belit pihak tertentu yang mahu mengaitkan­nya dengan isu politik dan mewujudkan ketegangan antara kaum.

Beliau berkata, tuduhan mengatakan beliau mempersoal­kan kesetiaan kaum India di negara ini yang dilaporkan beberapa media tempatan, adalah berniat jahat.

Beliau berkata hanya mempersoal­kan mengapa segelintir masyarakat Hindu di Malaysia lebih mempercaya­i Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam konteks pertuduhan jenayah dihadapiny­a di negara itu.

“Saya memuji kemampuan Malaysia dan kerajaan memberi hak sewajarnya kepada golongan minoriti beragama Hindu, sesuatu yang gagal dilakukan Kerajaan India terhadap golongan minoriti Muslim di sana.

“Berhubung pertuduhan (jenayah) terhadap saya oleh Kerajaan India, pendirian saya jelas. Adalah tidak adil apabila segelintir masyarakat Hindu di Malaysia seperti lebih percayakan kerajaan Modi berbanding Interpol (polis antarabang­sa), mahkamah India atau Kerajaan Malaysia sendiri.

“Pujian saya pada Kerajaan Malaysia mengenai layanan terhadap minoriti Hindu diputar belit dan dipetik di luar konteks bagi tujuan politik serta mencetus ketegangan kaum,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

 ??  ?? Dr Zakir Naik
Dr Zakir Naik
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia