Berita Harian

‘Kami tak berani pergi dekat’

Kumpulan pendaki antara terawal tiba ke lokasi penemuan

- Oleh Azzman Abdul Jamal azzman@bh.com.my

Seremban: Sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, 15, adalah antara yang terawal tiba ke lokasi penemuan mayat remaja Ireland itu ketika dijumpai petang kelmarin.

Wakil kumpulan itu, Kenny Chan, berkata sebelum penemuan mayat itu, dia bersama kumpulanny­a seramai kira-kira 25 orang sedang melakukan pencarian mengikut laluan sungai sebelum mereka berpecah kepada dua kumpulan.

“Laluan sungai itu kemudian berpecah kepada dua arah (kiri dan kanan), jadi kami berpecah kepada dua kumpulan untuk meluaskan kawasan pencarian.

“Kami yang ikut laluan kiri tiba-tiba terjumpa mayat itu dan tanpa berfikir panjang terus menghubung­i polis.

“Kami juga tidak pasti jika ada orang lain di situ atau jumpa mayat itu sebelum kami,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kumpulanny­a itu bagaimanap­un tidak berani melihat mayat itu dengan lebih dekat.

“Kami hanya lihat mayat itu dari jarak kira-kira 20 meter sebab tidak berani pergi lebih dekat,” katanya.

Kumpulan pendaki itu antara sukarelawa­n yang menyertai operasi pencarian Nora Anne dan mula menyertai anggota SAR sejak Ahad lalu.

Sebelum ini, Nora Anne yang mengalami masalah lembam dilaporkan hilang di sebuah resort di Pantai, di sini sejak 4 Ogos lalu sebelum pihak berkuasa melancarka­n operasi SAR.

Mayatnya kemudian ditemui pada jam 1.57 tengah hari kelmarin di kawasan lurah berhampira­n anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapan remaja itu bersama keluargany­a.

Kenny berkata, beliau dan kumpulanny­a sudah memberi keterangan kepada pihak polis di Balai Polis Pantai kelmarin.

“Ya, keterangan sudah diberikan (kepada pihak polis), tetapi hanya berkenaan perjalanan SAR kami saja,” katanya.

Sementara itu, operasi SAR yang kini memasuki hari ke-11 pagi semalam diteruskan dengan kekuatan anggota seramai 257 orang.

Difahamkan, operasi tertumpu di kawasan mayat mangsa ditemui kelmarin untuk memperoleh petunjuk bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, Shirley Yap, 50, yang juga dalam kumpulan berkenaan berkata, mereka melakukan pencarian mengikut gerak hati sebelum terjumpa mayat remaja Ireland itu.

Beliau berkata, mereka sebelum ini menerima maklumat Nora sangat teruja apabila diberitahu terdapat air terjun berhampira­n kawasan penginapan­nya sekeluarga.

Susulan itu, katanya, mereka membuat keputusan melakukan pencarian di kawasan yang mempunyai sungai.

“Kita dapat maklumat Nora sangat gembira apabila diberitahu ada air terjun berhampira­n resort ini.

“Jadi, kita jangka besar kemungkina­n, dia (Nora) akan ke tempat yang ada air,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

 ?? [Foto Adzlan Sidek/bh] ?? Anggota pasukan SAR mengawal lokasi penemuan mayat Nora Anne di Pantai, Seremban, semalam.
[Foto Adzlan Sidek/bh] Anggota pasukan SAR mengawal lokasi penemuan mayat Nora Anne di Pantai, Seremban, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia