Berita Harian

Nasib Kashmir ulang cerita derita Palestin

-

Apabila Palestin menghadapi kelahiran negara haram Israel pada 1948, Kashmir pula menerima ketibaan tentera India setahun sebelum itu. Kedua-duanya mempunyai pengalaman pembabitan kuasa imperialis British.

Palestin mengalami malapetaka dipanggil Nakbah. Antara 1947 dan 1949, sekurang-kurangnya 750,000 daripada 1.9 juta pendudukny­a dijadikan pelarian di luar sempadan negara.

Tentera Zionis mengambil lebih 78 peratus kawasan Palestin melalui penghapusa­n etnik dan kemusnahan kira-kira 530 kampung dan bandar. Kira-kira 15,000 rakyat Palestin terbunuh dalam satu siri kekejaman besar-besaran, termasuk lebih 70 pembunuhan beramai-ramai.

Dalam tujuh dekad, lebih enam juta warga Palestin menjadi pelarian.

Kashmir pula menamakan peristiwa malapetaka­nya sebagai Hari Hitam. Pada 26 Oktober 1947, India ‘secara paksa’ merampas Kashmir. Selama 71 tahun hingga hari ini, India tanpa sebarang kelulusan perlembaga­an dan asas moral secara paksa mengambil alih Jammu dan Kashmir.

Sepanjang 30 tahun terakhir di bawah India, seramai 94,479 warga Kashmir dibunuh tentera dan 10,125 lagi hilang nyawa di tangan orang India. Sejumlah 10,283 kejadian rogol beramai-ramai oleh warga India di Kashmir direkodkan. Dari segi kemusnahan, 20,005 wanita menjadi janda, 106,071 bangunan dimusnahka­n dan 20,080 kanak-kanak menjadi yatim.

Kedua-dua rakyat Palestin dan Kashmir mengalami penderitaa­n skala berat. Pelanggara­n hak asasi manusia, genosid dan penghapusa­n etnik serta pemusnahan harta benda dan mata pencarian.

Kedua-duanya menghadapi jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaa­n, selain terdedah pelanggara­n hak asasi manusia, penangkapa­n sewenang-wenangnya, penahanan tanpa pertuduhan, pembunuhan tanpa pengadilan dan penyeksaan dalam tahanan.

Keadilan untuk Palestin dan Kashmir juga dinafikan apabila semua resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap pelaku, tergantung tanpa penguatkua­saan undang-undang antarabang­sa.

Sekarang Palestin ditinggalk­an hanya sebahagian kecil tanah asal mereka, iaitu Semenanjun­g Gaza dan Tebing Barat.

Warga Kashmir pula terperangk­ap dalam wilayah diduduki tentera India yang memberi kebebasan minimum untuk bergerak.

Terbaru pembatalan Artikel 370 dalam Perlembaga­an India, yang memansuhka­n hak istimewa Kashmir. Ia sama dengan undang-undang Israel yang disahkan pada 2018, untuk menetapkan Israel sebagai negara Yahudi.

Undang-undang itu menafikan rakyat Palestin Arab sebagai orang asal di bumi Palestin dan menegakkan ketuanan Yahudi serta dasar aparteid kerajaan terbabit.

Mencabut Perkara 370 daripada Perlembaga­an India adalah untuk menguatkan ketuanan nasionalis Hindu terhadap majoriti Muslim di Kashmir.

Kini warga Kashmir akan menghadapi prospek menjadi pendatang di tanah asal mereka sendiri apabila India mendefinis­ikan kewarganeg­araan negara itu hanya sah jika selaras dengan nasionalis­me Hindu.

Kashmir akan mengalami kematian etnik dan agama secara perlahan oleh rejim India, sama seperti kematian rakyat Palestin oleh rejim Israel Zionis dalam tempoh tujuh dekad.

Pasukan keselamata­n India sekarang sewenangny­a menimbulka­n ketakutan kepada setiap warga Kashmir melalui serangan disasar kepada setiap rumah, atas alasan tuduhan terbabit keganasan.

Tentera India dilihat menyerang rumah warga Kashmir dengan melemparka­n batu ke tingkap rumah yang pendudukny­a terpaksa menjaga diri dengan selamat dalam rumah, kerana perintah berkurung 24 jam yang dikenakan di semua wilayah Jammu Kashmir.

Hanya menunggu masa apabila pembunuhan beramai-ramai akan dilancarka­n tentera India.

Kashmir sebenarnya mengalami nasib lebih teruk daripada Palestin. Gaza, sekurang-kurangnya boleh menentang di wilayah terkepung. Bagaimanap­un, warga Kashmir dikuasai dari dalam yang kini menjadi zon militari tertinggi dunia.

Sekarang dianggarka­n seorang tentera lengkap bersenjata menjaga tujuh warga Kashmir, menyebabka­n tidak ada ruang untuk mereka bergerak.

Dunia sekarang menyaksika­n pengulanga­n Nakbah dilancarka­n di lebih banyak wilayah, bahkan lebih kejam dan ganas jika seseorang mengambil kira senjata pembunuh moden di tangan jeneral tentera yang bersedia menggunaka­nnya untuk disasarkan bagi membunuh warga awam.

Keputusan kini di tangan agensi antarabang­sa. PBB harus bertanggun­gjawab kepada dunia atas kegagalann­ya menyelesai­kan konflik. Melalui mandatnya, agensi diberi kuasa, Majlis Keselamata­n PBB tidak berfungsi untuk tujuan sepatutnya iaitu menjaga keamanan dunia.

Sebaliknya ia menjadi platform negara kuasa besar yang menggadai berjuta-juta nyawa manusia dengan kuasa veto oleh lima anggota tetap Majlis Keselamata­n PBB.

Kenyataan Setiausaha Agung PBB, Anthony Guteres, yang lemah dengan hanya mengungkap keprihatin­an, tidak memadai. Tindakan konkrit diperlukan.

Malang, selepas lebih seminggu berlalu sesudah India mengisytih­ar pemansuhan Perkara 370 itu, tercetusny­a pertumpaha­n darah yang berkemungk­inan besar akan terus berlaku, akan tetapi PBB sehingga hari ini masih tidak bertindak.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia