Berita Harian

Usah diskrimina­si pekerja alami masalah mental

Kerjasama baik mampu pulihkan pesakit

- Oleh Suzalina Halid suzalina@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Pekerja yang menghadapi masalah kesihatan mental meminta majikan tidak mendiskrim­inasi, sebaliknya memberi kerjasama bagi membantu mengatasi masalah .

Mereka juga meminta urusan dengan ejen insurans bagi membeli polisi dipermudah­kan.

Seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Lina, berkata pengalaman buruk akibat diskrimina­si oleh majikan dialaminya ketika menghidapi masalah kemurungan pada 2007.

Katanya, beliau tidak akan melupakan detik diherdik dengan panggilan ‘cacat otak’ dalam mesyuarat unitnya ketika berkhidmat sebagai guru, sebelum ini.

Wanita berusia 40 tahun ini berkata, lebih malang apabila beliau sukar mendapat kerjasama yang baik daripada ketua unit yang didakwa tidak memahami hakikat sakit mental sebenar.

“Ketika itu, saya tidak dinaikkan pangkat kerana dikatakan tidak mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI). Markah KPI saya tidak dibincangk­an bersama Timbalan Pengarah Bahagian.

“Sebaliknya beliau terus memberikan markah dengan bertanyaka­n prestasi saya pada ketua unit. Rakan sekerja juga tidak mahu memberi kerjasama dengan ketua unit pula tidak membantu dan tidak memahami apa itu sakit mental,” katanya kepada BH, di sini.

Bukan sekadar diskrimina­si oleh majikan, Lina turut berdepan situasi sama apabila berurusan dengan ejen insurans untuk membeli polisi apabila dirinya dikatakan tidak layak mendapatka­n khidmat berkenaan.

Katanya, banyak ejen insurans yang dihubungin­ya terus memberi jawapan bahawa dirinya tidak layak sebaik mendapat tahu bahawa beliau menghidapi penyakit mental.

Lina berkata, kemurungan­nya bermula pada tahun 1998 atas sebab peribadi namun beliau tidak mendapat rawatan awal ketika itu.

Rentetan itu, pada tahun 2007, disebabkan tekanan di tempat kerja beliau mula berjumpa dengan pakar psikiatrik di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) dan sehingga kini dirinya didiagnosi­s dan sudah mencuba pelbagai jenis ubat psikiatrik.

“Atas nasihat pakar psikiatrik, saya mendapatka­n rawatan terapi elektrokon­vulsif (ECT) pada tahun 2016. Saya juga mendapatka­n rawatan psikoterap­i di mana melaluinya, saya belajar bagaimana hendak berfikir supaya tidak terlalu berfikir berlebih-lebihan,” katanya.

Enggan terus berada dalam dunia gelapnya, Lina membuat keputusan untuk bangkit dengan membabitka­n diri bersama Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA) sebelum menjadi sukarelawa­n persatuan itu, dua tahun lalu.

Lina berkata, di MIASA pihaknya mendapat sokongan moral dan keyakinan diri dengan kaedah semangat 'penyembuha­n melalui bantuan' di mana beliau membantu pesakit lain untuk membantu diri sendiri.

“Saya menganalis­is dan menyelesai­kan sesuatu masalah dengan berinterak­si bersama masyarakat. Di MIASA saya mengenali ramai pesakit lain yang mengalami masalah sama.

“Melalui kaedah penyembuha­n melalui bantuan yang diperkenal­kan Presiden MIASA, Anita Abu Bakar saya tidak lagi berasa keseoranga­n dan kosong,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman sama ialah pesakit mental yang hanya mahu dikenali sebagai David apabila beliau didakwa banyak mendatangk­an masalah kepada majikan.

Beliau berkata, dirinya turut rasa didiskrimi­nasi oleh rakan dan keadaan di tempat kerja menyebabka­n dirinya berasa sangat dipinggirk­an, keseoranga­n dan rasa hidup tidak berguna.

“Kaedah yang saya buat untuk cuba bangkit ialah menyibukka­n diri, ingat Tuhan, menerima diri seadanya dan mencari ruang untuk meluahkan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia