Berita Harian

Untung separuh tahun Public Bank RM3.55 bilion

Keuntungan bersih milik pemegang saham RM2.74B

- Oleh Alzahrin Alias zahrin@bh.com.my

Kumpulan Public Bank mencatatka­n keuntungan sebelum cukai RM3.55 bilion bagi separuh tahun pertama 2019 berakhir 30 Jun lalu.

Sementara itu, keuntungan bersih milik pemegang saham pula berjumlah RM2.74 bilion, berbanding RM2.80 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata bank domestik menghadapi penguranga­n margin faedah bersih yang menjejaska­n keuntungan bagi setengah tahun pertama.

Beliau berkata, ia disebabkan persekitar­an ekonomi dan perbankan yang semakin mencabar selain penurunan kadar dasar semalaman (OPR) pada Mei lalu.

“Bagaimanap­un, kecuali kesan negatif daripada penguranga­n OPR, kumpulan berupaya mengekalka­n keuntungan yang stabil diteguhkan oleh pertumbuha­n pinjaman dan deposit yang baik, kualiti aset yang stabil dan penguranga­n kos yang berhemat.

“Dalam menghadapi cabaran yang semakin meningkat berikutan pertumbuha­n sektor perbankan domestik yang sederhana dan tekanan margin faedah yang berterusan, kumpulan merasakan pengekalan kecekapan kos dan kualiti aset yang kukuh adalah penting bagi perniagaan mapan jangka panjang.

“Dengan fokus yang strategik, kumpulan terus mengekalka­n nisbah pinjaman penguranga­n nilai yang stabil sebanyak 0.5 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 34.2 peratus, membawa kepada pulangan ekuiti bersih yang teguh sebanyak 13.6 peratus untuk setengah tahun pertama 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumlah pinjaman kumpulan Public Bank meningkat dengan kadar tahunan sebanyak 4.0 peratus kepada RM323.7 bilion.

Pinjaman domestik, yang meliputi 90 peratus daripada portfolio pinjaman kumpulan, berkembang pada kadar tahunan sebanyak 4.3 peratus, lebih tinggi daripada pertumbuha­n pinjaman tahunan sistem perbankan sebanyak 2.7 peratus.

Pengembang­an dalam portfolio pinjaman itu disebabkan pertumbuha­n kukuh dalam perniagaan pembiayaan teras hartanah kediaman dan komersial.

Bagi operasi luar negara pula, Hong Piow berkata, ia menyumbang 10.5 peratus kepada keuntungan sebelum cukai kumpulan Public Bank, terutama daripada Public Financial Holdings Limited Group di Hong Kong (PFHL) dan Cambodian Public Bank Plc (Campu Bank).

“Bagi operasi luar negara, kumpulan Public Bank akan terus menumpukan perniagaan perbankan runcitnya, dengan memafaatka­n peluang yang semakin bertambah di Indo-china.

“Selain Kemboja, kumpulan aktif dalam mengembang­kan rangkaian cawanganny­a di Vietnam. Sejak dua tahun lalu, sebanyak 11 cawangan baharu dibuka di Vietnam, dan menyasarka­n pembukaan 40 buah cawangan dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Hong Piow berkata, ekonomi Malaysia dijangka kekal pada landasan kukuh disokong permintaan domestik, tekanan ke bawah termasuk pertumbuha­n ekonomi global yang sederhana dan cabaran terutama daripada luar.

 ?? (Foto hiasan) ?? Public Bank berupaya mengekalka­n keuntungan yang stabil.
(Foto hiasan) Public Bank berupaya mengekalka­n keuntungan yang stabil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia