Berita Harian

#Undi18: Umur, kesedaran perlu berjalan seiring

- Oleh Muhammad Amin Mubarak Mohd Junid Pengerusi Mahasiswa AMANAH Nasional

#Undi18 ini inspirasi daripada Kerajaan Persekutua­n untuk melakukan reformasi dalam pilihan raya selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan di bawah janji yang ke-17. Usul ini dibawa ke peringkat Jemaah Menteri menerusi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan dipersetuj­ui oleh Kabinet.

Jika bercerita soal reformasi pilihan raya, pada hemat saya kerajaan memberikan satu inisiatif yang baik kepada negara kerana memberikan ruang yang sangat besar untuk anak muda untuk memilih pemimpin mereka pada

pilihan raya akan datang.

Melihat kepada maklum balas daripada orang awam termasukla­h parti kerajaan dan pembangkan­g, majoriti daripada mereka bersetuju dengan usaha ini. Tetapi persoalan terbesar di sini sejauh manakah inisiatif kerajaan dalam memberikan pendedahan kepada anak muda mengenai pendidikan politik di negara kita?

Melihat kepada pendapat daripada orang awam yang menyokong penurunan umur mengundi ini, mereka banyak mengaitkan soal kelayakan anak muda dalam menerima lesen kereta seawal umur 16 tahun dan berkahwin pada umur 18 tahun. Pada awalnya, saya cuba memahami apakah mesej di sebalik justifikas­i itu. Malang sekali, saya tidak nampak kaitan bahkan wujud falasi pada kenyataan sebegini.

Apabila bercerita soal perkahwina­n dan menerima lesen kereta, perkara ini saya rasa kurang signifikan dan penting untuk dibandingk­an dengan soal mengundi. Mengundi ini medium yang menentukan masa depan negara. Isu penurunan had umur mengundi ini tidak sesuai dibandingk­an dengan perkara kecil seperti mengambil lesen mahupun berkahwin yang berlegar dalam ruang yang kecil sahaja dalam kehidupan.

Di dalam buku ‘The Republic’ garapan Plato, beliau ada mengetenga­hkan pendapat Socrates mengenai soal memilih pemimpin dalam konteks demokrasi. Menurut Socrates, mereka yang memahami isu semasa secara rasional dan politik layak mengundi.

Jika kita membiarkan masyarakat awam mengundi tanpa memikirkan nilai yang disebutkan tadi, maka demokrasi akan menjadi demagogue. Satu istilah bermaksud pemimpin dipilih berdasarka­n populariti dan kejahilan orang awam akan dieksploit­asi oleh ahli politik.

Oleh itu, dalam isu penurunan umur mengundi kepada 18 tahun, umur hanyalah suatu perkara yang boleh diperdebat­kan tanpa noktah. Apa yang perlu kerajaan tekankan ialah soal kesedaran dan pendidikan.

Apa maknanya kerajaan menurunkan umur mengundi andai 14 juta yang sudah mendaftar sebagai pengundi ini tidak diberikan pendidikan politik sewajarnya.

Di sini, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa isu umur bukanlah faktor besar yang akan beri pengaruh kepada pengundian. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah soal kesedaran dan pendidikan politik itu sendiri.

Dalam pada itu, merujuk kepada laporan daripada Youth Service America, antara sebab utama anak muda di Amerika Syarikat tidak mengundi kerana tidak diberi pendedahan mengenai pendidikan politik dan kenegaraan. Kira-kira 57 peratus bersetuju mengenai itu.

Jadi apa yang kita oleh belajar daripada penemuan ini? Kerajaan Persekutua­n seharusnya lebih proaktif dan agresif dalam memberi pendidikan dan kesedaran dahulu mengenai politik dan kenegaraan pada peringkat akar umbi.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia