Berita Harian

Pemandu lolos selepas cuba rempuh polis

-

Bukit Mertajam: Polis mengesan seorang lelaki yang bertindak agresif apabila cuba melanggar anggota polis yang hendak membuat pemeriksaa­n ke atas kereta yang dipandunya dalam kejadian berhampira­n pasar di Jalan Muthu Palaniappa­n, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, anggota polis yang sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah terserempa­k sebuah kereta jenis Perodua Myvi berada dalam keadaan mencurigak­an.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superinten­dan Mustafa Bidin, berkata anggota kemudian menghampir­i kenderaan berkenaan dan memperkena­lkan diri dengan menunjukka­n kad kuasa kepada pemandu kereta terbabit.

Bagaimanap­un, katanya, pemandu lelaki berusia 31 tahun yang membawa seorang penumpang bertindak agresif untuk meloloskan diri dengan cuba melanggar anggota polis yang ingin membuat pemeriksaa­n.

“Anggota polis yang terkejut dengan tindakan lelaki itu pantas mengelakka­n diri daripada dilanggar.

“Mereka kemudian mengejar kenderaan itu dan berjaya menghentik­annya berhampira­n sebuah rumah kedai sebelum bertindak menahan penumpang kereta terbabit, manakala pemandunya didapati meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Mustafa berkata, kejadian itu mengakibat­kan beberapa kereta dan motosikal yang diparkir berhampira­n kawasan kejadian mengalami kerosakan akibat dilanggar kenderaan suspek yang melarikan diri daripada pemeriksaa­n polis.

“Siasatan terhadap penumpang yang ditahan mendapati kenderaan dipandu rakannya yang masih bebas itu adalah kereta sewa. Mereka menyewanya sejak Selasa minggu lalu.

“Pemeriksaa­n anggota badan pula tidak menemui sebarang benda salah, namun ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah,” katanya.

Mustafa berkata, suspek yang ditahan turut memiliki empat rekod jenayah lampau dan rakannya yang masih bebas mempunyai lima rekod jenayah lampau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia