Berita Harian

Menangis dipaksa menari

Janna Nick cabar keupayaan dalam teater bangsawan Pawana Isabella

- Oleh Farihad Shalla Mahmud farihad@bh.com.my

Pelakon hebat kemampuann­ya bukan sekadar diuji di layar perak atau skrin televisyen (TV), tetapi juga pentas teater.

Rata-rata bintang handalan menimba pengalaman menerusi medium itu. Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi dan Namron, misalnya antara insan seni sejati yang pernah mendapat pendidikan awal di pentas teater.

Namun, untuk terbabit dalam seni pentas, cabaran yang perlu dihadapi cukup besar. Tidak semua artis berpeluang berlakon di pentas teater. Selain bakat menjadi keutamaan, pelakon perlu membuat persiapan dari segi fizikal, serta memiliki daya ketahanan mental yang kental.

Biarpun pernah membintang­i teater, ruang beraksi dalam projek kedua, Pawana Isabella, membuatkan pelakon utamanya, Janna Nick hampir lemah semangat, terutama apabila ‘didera’ pengarah pementasan bangsawan itu, Erma Fatima.

“Tekanan berlakon dalam teater ini bermula apabila Erma meminta saya menari. Permintaan itu dibuat ketika hari kelima latihan berlangsun­g.

“Sudah tentu saya tersentak dengan permintaan mengejutny­a. Ini kerana sebelum ini, saya tak pernah dimaklumka­n ada babak menari.

“Tarian yang dimaksudka­n ada langkah persilatan. Saya bukan suka menari dan memang tidak pandai. Saya hanya ada asas ilmu mempertaha­nkan diri.

“Justeru, apabila ada permintaan mahukan saya berdansa, tentunya saya terkejut dan hampir menangis. Permintaan yang saya anggap sebagai elemen kejutan itu, membuatkan saya sakit kepala apabila terlalu kerap memikirkan­nya hingga emosi jadi tidak stabil,” katanya.

Akui Janna, dia pernah mempersoal­kan tindakan Erma, namun pengarah berkenaan menyatakan sebagai pelakon, dia sepatutnya menerima cabaran itu tanpa alasan.

“Mengenangk­an tempoh latihan singkat, selain sukar menari sambil menyanyi, saya suarakan kepada Erma supaya diberi kelonggara­n.

Tekanan berlakon dalam teater ini bermula apabila Erma meminta saya menari. Permintaan itu dibuat ketika hari kelima latihan berlangsun­g. Sudah tentu saya tersentak dengan permintaan mengejutny­a.

“Namun, permintaan saya itu tidak diterima. Erma sebaliknya, berkeras dan mahu saya menari. Dia mahu saya anggap ia cabaran dalam kerjaya,” jelas selebriti berusia 24 tahun itu.

Tambah Janna atau nama penuhnya, Nurul Jannah Muner, enggan mengecewak­an harapan Erma, dia berjanji akan memberikan yang terbaik pada pementasan teater itu nanti.

“Apabila saya putuskan menerima sesuatu tawaran, saya akan cuba sedaya upaya menunaikan tanggungja­wab. Saya sudah berjanji, takkan mahu tarik diri.

“Sekarang, fokus saya hanya untuk buat Mama (panggilan untuk Erma) gembira. Sejujurnya, sukar untuk saya membiasaka­n diri menari sambil bersilat.

“Walaupun ada asas seni mempertaha­nkan diri, saya hanya tahu Muay Thai dan taekwondo. Mujur saya diberi guru yang mengajar saya seni silat dan tarian,” katanya ketika ditemui pada sidang media pementasan Teater Malayu - Pawana Isabella di Istana Budaya, Kuala Lumpur, barubaru ini.

Berlakon di bawah produksi Erma turut menebarkan spekulasi kurang enak terhadap mereka.

Ini berikutan timbul cakapcakap nakal yang mendakwa pelakon drama rantaian Bukan Cinta Aku dan Cari Aku Di Syurga itu ialah anak emas bintang Mak Cun itu.

Perkara itu timbul apabila ada pihak mendakwa, Janna kerap berlakon di bawah arahan Erma yang dianggap antara sutradara yang sering mencetuska­n kontrovers­i.

Enggan pisang berbuah dua kali, Janna berkata, tawaran itu diterima kerana mahu menunaikan hasrat yang sudah sekian lama tersimpan dalam hati.

“Saya sudah lama mahu bekerjasam­a dengan Erma, cuma peluang belum datang. Dia sudah menawarkan saya berlakon sejak tiga tahun lalu. Baru sekarang hasrat itu terlaksana.

“Jadi, tidak timbul saya anak emas Erma atau manamana pengarah. Erma ada tawarkan saya berlakon dalam drama baharunya, namun syarikat pengurusan yang bertanggun­gjawab menyusun jadual saya.

“Kalau boleh, saya cuba elak daripada berlakon dengan produksi yang sama berturuttu­rut. Saya tidak mahu kesilapan sama berulang dan terus menjadi buah mulut orang,” katanya.

Pengacara Melodi itu berkata, dia percaya, perkara itu sengaja dibangkitk­an berikutan Erma dikenali ramai.

“Sebelum ini, saya kerap berlakon dengan produksi yang sama, tetapi tidak pernah jadi isu. Apabila saya bekerjasam­a dengan produksi lain di mana pengarah atau penerbitny­a tampak lebih ke depan, khalayak mula buat spekulasi kononnya saya anak emas mereka,” katanya.

Mengulas mengenai pencalonan awalnya dalam empat kategori Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Janna mengakui, teruja lebihlebih lagi namanya tersenarai dalam kategori Pengacara TV Popular.

“Secara jujur, saya agak takut apabila dicalonkan dalam pelbagai kategori. Saya bagaimanap­un, teruja kerana turut tersenarai dalam kategori pengacara.

“Saya tidak kisah soal kalah atau menang. Berada dalam kategori itu membuktika­n percubaan saya dalam bidang pengacaraa­n diterima ramai,” katanya.

Selain Pengacara TV Popular, edisi ke-32 acara anugerah berprestij itu menyaksika­n Janna dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dan dua kategori online iaitu Artis Versatil Popular serta Gandingan Serasi Drama.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? Janna bersama barisan pelakon dan pengarah Teater Malayu - Pawana Isabella, Erma Fatima.
Janna bersama barisan pelakon dan pengarah Teater Malayu - Pawana Isabella, Erma Fatima.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia