Berita Harian

Kongsi minat perkukuh mahligai

Hobi sama bolehkan pasangan luang masa, fahami kehendak masing-masing

- Oleh Nazura Ngah nazura_ngah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Seiring, sejalan dan sederap. Peribahasa cukup sempurna bagi menggambar­kan pasangan suami isteri yang berkongsi minat dan hobi, sekali gus mengeratka­n institusi perkahwina­n mereka.

Alasan yang sering diberikan perkongsia­n itu membolehka­n mereka meluangkan masa bersama, senang dibawa berbincang dan memahami kehendak masing-masing.

Kakitangan swasta, Roshayati Saidin, 42, berasal dari Perak dan kini menetap di Rawang Selangor berkongsi minat mendaki gunung bersama suaminya, Azman Junit, 45.

“Boleh jaga pasangan, lebih memahami antara satu sama lain, rasa lebih selamat dan yang penting dapat sihat bersama,” katanya kepada BH.

Pasangan yang memiliki tiga cahaya mata berusia antara lapan hingga 19 tahun itu mula mendaki bersama sejak tiga tahun lalu kini sudah menakluk lebih 30 puncak gunung dan bukit.

“Minat mendaki bersama timbul selepas rakan mengajak ke Bukit Tabur dan sejak itu kami terus menjadikan aktiviti mendaki sebagai hobi bagi mengisi masa lapang,” katanya.

Antara kejayaan manis buat pasangan ini ialah apabila berjaya menakluk Gunung Rinjani pada 2018 dan Gunung Kinabalu pada 2017.

Momen berada di puncak Gunung Kinabalu, antara puncak tertinggi di Asia Tenggara yang memiliki ketinggian 4,095 meter (m) itu akan diulang Februari tahun hadapan.

Pasangan ini turut memasang impian menamatkan cabaran menakluk tujuh gunung di Semenanjun­g yang juga dikenali sebagai G7 kerana ketinggian masing-masing mencecah lebih 2,133 m.

Buat masa ini, mereka sudah menawan Gunung Yong Belar dengan ketinggian 2,181 m dan Gunung Tahan (2,187 m). Dalam masa terdekat mereka berhasrat untuk menawan Gunung Yong Yap dengan ketinggian 2,168 m.

Roshayati dan Azman antara lima pasangan suami isteri yang ditemui ketika menyertai pendakian ke Gunung Tahan menerusi laluan Merapoh-merapoh (M2M) pada 19 hingga 22 Julai lalu.

Bagi Nur Amiza Mohd Amin, 34, dan suaminya, Halim Shah Ibrahim, 34, sejak memulakan aktiviti mendaki bersama pada 2015, mereka menawan lebih 15 puncak bukit dan gunung termasuk Gunung Silipat, Betong di Thailand.

Pasangan yang dikurniaka­n seorang cahaya mata berusia sembilan tahun, Nur Qurratu’ Aini itu kini memasang impian mendaki bersama ke beberapa puncak antaranya Gunung Yong Yap dan Gunung Fansipan, Vietnam.

Nur Amiza yang juga Penolong Jurutera Kanan di Jabatan Perumahan Negara, berkata mereka juga pernah membawa Nur Qurratu’ Aini mendaki ke beberapa lokasi, antaranya Bukit Gasing, Bukit Melati, Bukit Batu Putih, Bukit Wawasan dan Gunung Silipat bagi mengeratka­n hubungan kekeluarga­an.

“Ada masanya saya mendaki bersama rakan kerana suami yang bertugas sebagai polis bantuan perlu mengikut jadual kerja syif,” katanya

Ditanya kelebihan mendaki bersama pasangan, Nur Amiza berkata, aktiviti itu lebih merapatkan hubungan mereka apabila masing-masing menyokong dan membantu sepanjang pendakian ke puncak.

“Kami dapat berkongsi banyak cerita kerana ada kalanya di rumah, kami tak sempat bercerita dan paling penting merapatkan lagi hubungan kami,” katanya.

Bagi Halim Shah pula, peluang mendaki bersama isteri adalah waktu terbaik buat mereka dalam bentuk menyokong dan membantu antara satu sama lain.

“Bagi orang lain, mungkin masa bercuti atau membeli-belah adalah masa terbaik, tetapi bagi saya, mendaki adalah waktu yang paling sesuai untuk mengeratka­n hubungan suami isteri,” katanya yang bertugas di Pusat Penyiaran Astro Cyberjaya.

Perasaan sama dikongsi pasangan dari Kuantan, Pahang, Rahimi Md Arifin, 44, dan isteri, Marsitawat­i Mamat, 39 yang memulakan aktiviti mendaki bersama sejak 2015 dengan menakluk Gunung Yong Belar walaupun masing-masing sudah memulakan aktiviti itu pada 1999 dan 2000.

“Kelebihan mendaki bersama lebih mengeratka­n ikatan suami isteri kerana hampir sepenuh masa kita bersama menempuh kesukaran dan cabaran dalam perjalanan.

“Maka dengan sendirinya ikatan terjalin lebih erat tanpa kita sedari. Begitu juga jika mendaki bersama anak. Cabaran lebih hebat untuk menguruska­n emosi dan mental kita sendiri. Perlu banyak bersabar dan lebih fokus mengenai keselamata­n ahli keluarga,” katanya yang bekerja sendiri.

Selain Gunung Tahan, pasangan ini sudah menawan puncak Gunung Korbu; Gunung Gayong; Annapurna Base Camp; Gunung Yong Belar; Gunung Chemerong, Berembun, Langsir (CBL), Trans Naning, Gunung Benum dan Gunung Sarut.

Keempat-empat anak mereka, Raimi Darwish, 11, Qaisara Adlina, 9, Rifa Damia, 7, Muhammad Adlin Zafar, 5, turut mempunyai minat sama dalam aktiviti lasak.

Sebaik pulang dari Gunung Tahan, pasangan ini kini dalam persiapan menawan puncak Gunung Fuji di Jepun yang dijadualka­n bulan ini.

“Kalau ikutkan impian terlalu banyak, namun mana-mana pun kami tak kisah, yang penting aktiviti bersama,” katanya yang berhasrat membawa isteri menjelajah ‘The Silk Road’ atau Jalan Sutera di China, tahun hadapan.

Sementara itu pegawai bank, Azlina Omar, 43, turut menyifatka­n dirinya bertuah kerana berkongsi beberapa hobi dan minat termasuk mendaki dengan suaminya, Mohd Kamal Zan, 44, yang juga pegawai bank.

“Apabila ada peluang mendaki bersama, ia ibarat dating dan kami menjadikan ia sebagai aktiviti wajib sekurang-kurangnya sekali sebulan,” katanya yang sudah menawan puncak Gunung Rinjani dan Gunung Kinabalu.

Bagi orang lain, mungkin masa bercuti atau membeli-belah adalah masa terbaik, tetapi bagi saya, mendaki adalah waktu paling sesuai untuk mengeratka­n hubungan suami isteri.

Halim Shah Ibrahim, Kakitangan swasta

Kami dapat berkongsi banyak cerita kerana ada kalanya di rumah, kami tak sempat bercerita dan paling penting merapatkan lagi hubungan kami.

Nur Amiza Mohd Amin, Penolong Jurutera Kanan

 ??  ??
 ??  ?? Rahimi dan Marsitawat­i ketika misi menawan Annapurna Base Camp.
Rahimi dan Marsitawat­i ketika misi menawan Annapurna Base Camp.
 ??  ?? Roshayati dan Azman mula terbabit aktiviti pendakian sejak tiga tahun lalu.
Roshayati dan Azman mula terbabit aktiviti pendakian sejak tiga tahun lalu.
 ??  ?? Azlina dan Mohd Kamal di puncak Gunung Nuang.
Azlina dan Mohd Kamal di puncak Gunung Nuang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia