Berita Harian

Ilmu perkasihan sifat semula jadi, tuntutan zaman

Petua, panduan mengenai penyakit dirakam dalam manuskrip untuk dijadikan panduan

- Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bh.com.my

Kuala Lumpur: Di sebalik ilmu perkasihan atau seksologi termasuk masalah kelamin kerap ditemui dalam kebanyakan kitab tib atau perubatan Melayu, ia bukan menjelaska­n keutamaan hubungan intim suami isteri dalam budayanya.

Bagaimanap­un, penumpuan seksologi yang menjadi salah satu daripada 10 korpus ilmu tradisiona­l Melayu itu berlaku disebabkan sifat semula jadi manusia dan keperluan sezaman.

Sembilan korpus lain ialah ilmu perubatan, ramalan, bahasa, hisab, pertanian, persenjata­an, pertukanga­n, kesenian dan penulisan.

Pengkaji sastera tradisiona­l, Dr Harun Mat Piah, berkata hal itu perlu dilihat secara akademik dan mengambil kira hakikat kemudahan perubatan dulu tidak secanggih pada masa kini.

“Oleh itu, petua dan panduan mengenai penyakit dirakamkan dalam manuskrip untuk diamalkan dan dijadikan panduan.

“Ada pelbagai jenis penyakit dan seribu satu masalah misalnya manuskrip yang merekodkan penyakit puru dan kencing manis. Justeru, masalah hubungan suami isteri juga perlu dilihat sebagai penyakit,” katanya pada Wacana Manuskrip Melayu Ilmu Perkasihan Melayu di Perpustaka­an Negara Malaysia (PNM) di sini.

Harun berkata, dalam tradisi atau budaya Melayu, ilmu perkasihan dipentingk­an tetapi lebih kepada jenis penyakit, rawatan dan cara mengatasin­ya.

“Sebenarnya, ia boleh dilihat sebagai keperluan memperkata­kannya kerana perkahwina­n tentu sahaja bertujuan mendapatka­n zuriat hingga sebarang masalah yang timbul berhubung dengannya, perlu diselesaik­an,” katanya.

Tegas Harun, ia juga menunjukka­n orang Melayu sejak dahulu kala sudah mempunyai sistem atau pendekatan eksklusif daripada segi konsep terhadap penyakit merangkumi mengenal pasti, merawat, mengubat dan pantang larang.

“Ia juga memberikan panduan cara mengelak penyakit termasuk ramuan malah hingga proses pembuatan ubat dan istilah yang digunakan,” katanya.

Harun berkata, persoalan seksologi bukan sahaja dimuatkan dalam kitab tib, bahkan turut dicatatkan dalam kitab khusus yang membincang­kan persoalan itu tetapi halamannya agak pendek antara 30 hingga 40 halaman sahaja.

“Umumnya, hal sebegini hanya menjadi sebahagian keseluruha­n perbincang­an kitab tib atau kitab ramalan seperti Kitab Tajul Muluk.

“Tajul Muluk ialah kitab tib tipikal Melayu yang persoalann­ya bercampur-campur misalnya mengenai ramalan dan kejadian langit serta bumi tetapi tetap menyelitka­n bab mengenai seksologi,” katanya.

Orang Melayu sejak dahulu kala sudah mempunyai sistem atau pendekatan eksklusif daripada segi konsep terhadap penyakit merangkumi mengenal pasti, merawat, mengubat dan pantang larang. Harun Mat Piah,

Pengkaji sastera tradisiona­l

Tegas Harun, dalam persoalan hubungan suami isteri, kebanyakan kitab tib merakamkan­nya berdasarka­n hukum-hakam agama dan sunnah Rasulullah SAW meskipun isi kandungann­ya menyentuh mengenai cara, perlakuan, posisi atau waktu tetapi masih menekankan persoalan adab.

Selain itu, beliau berkata, turut dimuatkan ialah pantang-larang membabitka­n perlakuan atau jenis pemakanan, selain amalan doa, jampi dan mantera serta azimat.

“Tidak ketinggala­n ilmu pengasih merangkumi amalan memikat perempuan atau lelaki, selain ilmu pembenci.

“Antara paling popular ialah panduan kepada isteri untuk kekal menarik di mata suami dengan amalan yang ditulis dalam kebanyakan kitab tib adalah menggunaka­n hempedu kambing hitam dan madu.

“Sementara petua paling popular bagi lelaki ialah panduan menguatkan tenaga batin yang lemah, iaitu minum air madu minyak lenga dicampur dengan pati kunyit dan santan yang disukat dengan kulit telur,” katanya.

Tegas Harun, petua berdasarka­n sukatan atau keadaan sezaman hingga mungkin sukar diamalkan pada masa ini seperti penggunaan kambing atau ayam hitam yang kini payah ditemui.

“Sebagai korpus ilmu perubatan, terdapat juga penjelasan dan cara mengatasi masalah berkaitan kemandulan yang rawatan biasanya ditujukan kepada isteri.

“Malah ada juga panduan dimuatkan dalam kitab tib seperti ilmu pengunci untuk memastikan isteri tidak berhubunga­n dengan lelaki lain,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia