Berita Harian

Aktivis remaja naik kapal layar ke sidang kemuncak PBB

-

Plymouth: Aktivis alam sekitar, Greta Thunberg memulakan pelayaran ke New York semalam, bagi menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dengan menaiki perahu layar bebas karbon, yang dikendalik­an oleh anggota keluarga diraja Monaco.

Remaja Sweden berusia 16 tahun itu yang pernah mengadakan mogok di sekolahnya, selain menjadi inspirasi kepada semua kanak-kanak di seluruh dunia bagi membantah pemanasan global, enggan menaiki pesawat kerana ia melepaskan gas karbon ke udara.

Bagaimanap­un, beliau menerima tawaran untuk belayar menggunaka­n kapal layar Malizia II bersama bapanya, Svante dan pembuat filem dokumentar­i bagi merekodkan perjalanan itu, bagi membolehka­n remaja terbabit menghadiri sidang kemuncak PBB bulan depan.

PBB bakal mengadakan sidang kemuncak mengenai perubahan iklim pada akhir September ini.

Sementara itu, kapal sepanjang 18 meter itu dikendalik­an Pierre Casiraghi, naib presiden Kelab Perahu Layar Monaco dan anggota keluarga diraja negara itu serta dibantu pelayar bertaraf dunia dari Jerman, Boris Herrmann.

Pelayaran berkenaan dijangka mengambil masa selama dua minggu kerana kapal itu diramalkan menempuh angin kuat dan hanya mampu bergerak perlahan, walaupun sebenarnya mampu mencapai kelajuan 70 kilometer sejam.

“Objektif utama adalah untuk tiba dengan selamat di New York,” katanya ketika membuat persiapan terakhir di pelabuhan Plymouth, United Kingdom.

Thunberg menjadi sebutan ramai mengenai isu cuaca selepas memberi amaran mengenai kemusnahan dunia, jika semua pihak tidak bertindak mengekang pengeluara­n karbon dan pemanasan global.

Dalam pada itu, ketika bercakap kepada pemberita sebelum memulakan pelayaran, remaja itu akur dengan kenyataan bahawa tidak ramai orang bersedia untuk memahami dan menerima sains.

“Saya akan lakukan apa yang biasa dibuat, iaitu tidak mempedulik­an mereka dan bercerita mengenai fakta,” katanya merujuk kepada lawatan ke Amerika Utara baru-baru ini. AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia