Berita Harian

Sherren idam wakil Malaysia

Pemain Melbourne HC berdarah kacukan sebelah ibu

- Oleh Naqib Nor Said naqib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Selepas Kevin Lim, terdapat seorang lagi pemain berdarah kacukan Malaysia yang boleh dipujuk Konfederas­i Hoki Malaysia (MHC) untuk mewakili skuad hoki negara.

Pemain terbabit adalah Jake Sherren yang ketika ini beraksi buat Melbourne HC bagi saingan Liga Hoki Australia yang mana dia mempunyai pertalian darah Malaysia menerusi sebelah ibunya.

Ibu Sherren, Dr Rohani Paimin berasal dari Johor, manakala bapanya dari Australia dan situasi itu cukup melayakkan pemain tengah itu beraksi bersama skuad Malaysian Tigers.

Berusia 24 tahun, bakat berdarah Malaysia ini ditemui oleh Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin ketika lawatannya ke Melbourne, baru-baru ini.

Menurut Rohani, anaknya sememangny­a memasang impian untuk mewakili Malaysia dan hampir menyertai pasukan Liga Hoki Malaysia (MHL) tahun lalu.

“Sejak berusia 10 tahun, dia mewakili Hockey Victoria dan untuk musim ini Melbourne HC menyambarn­ya untuk saingan Liga Hoki Australia.

“Dia juga menjadi antara barisan pemain Australia yang meraih tempat ketiga pada Kejohanan Hoki Dalam Dewan Dunia 2018 di Berlin iaitu pencapaian terbaik Australia setakat ini.

“Pada masa sama dia juga begitu berminat mewakili Malaysia, cuma sebelum ini tidak kesampaian untuk ke sana kerana terikat dengan komitmen di sini,” katanya.

Sherren ditemui Megat tatkala beliau menonton aksi antara Powerhouse St Kilda menentang TEM dalam saingan liga utama Victoria baru-baru ini.

Difahamkan, aksi meyakinkan­nya sepanjang kempen itu menyebabka­nnya terpilih mewakili Melbourne HC ke saingan Liga Hoki Australia.

Sementara itu, Megat ketika dihubungi mengakui Sherren sebagai pemain tengah berkualiti dan beliau tidak menolak untuk mengikatny­a beraksi bersama pasukan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang bakal ditubuhkan­nya tahun depan.

“Saya akan bekerjasam­a dengan Lachlan Anderson untuk bawa Sherren beraksi dalam saingan MHL dan mungkin dari situ dia boleh yakinkan jurulatih Malaysia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia