Berita Harian

‘Badang’ bomba menang emas, cipta rekod

-

Kuala Terengganu: Anak kelahiran Kampung Tepoh, Ezam Aziery Mamat mencatat sejarah apabila meraih pingat emas acara Powerlifti­ng Bench Press kategori 83 hingga 93 kilogram (kg) di Kejohanan Sukan Polis dan Bomba Dunia 2019 di Chengdu, China, kelmarin.

Ezam 35, yang mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menewaskan empat peserta lain dari China, Argentina, Jerman dan Uruguay dengan jumlah angkatan seberat 180 kg.

Lebih manis apabila penyertaan pertama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu itu turut memecahkan rekod kejohanan seberat 170 kg sebelum ini.

Ezam yang membuat persiapan dalam tempoh sebulan sebelum ke kejohanan itu tidak menyasarka­n sebarang pingat, sebaliknya sekadar mahu mencuba nasib.

“Sebelum ini, saya hanya aktif dengan sukan bina badan dan sudah beberapa kali mewakili JBPM dalam sukan ini namun, penyertaan kali ini hasil dorongan Majlis Sukan Bomba Malaysia.

“Saya tidak mempunyai teknik khas dan tidak menjalani latihan khusus untuk sukan ini, semuanya bergantung kepada pengalaman ketika menjalani latihan bina badan di gimnasium sahaja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambahnya, dia mengalami kecederaan pada bahagian siku kiri ketika acara Bench Press sekali gus menyebabka­n dia terpaksa menarik diri daripada menyertai acara Deadlift.

“Memang sedih apabila tidak berpeluang menyumbang­kan satu lagi pingat untuk negara tetapi saya terpaksa akur dan berharap kecederaan sama tidak berulang lagi tahun hadapan,” katanya yang pernah meraih emas dalam acara bina badan Kejohanan Sukan Bomba Dunia di Korea tahun lalu.

Menurut Ezam, kejayaan itu juga memberi semangat kepadanya untuk bergiat secara serius dalam sukan berkenaan.

 ??  ?? Ezam
Ezam

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia