Berita Harian

Polis siasat Zakir, Dong Zong

Kertas siasatan dibuka selepas 115 laporan diterima di seluruh negara

- Oleh Ruwaida Md Zain bhnews@bh.com.my

Shah Alam: Polis membuka kertas siasatan terhadap pendakwah bebas, Dr Zakir Naik, berhubung kenyataann­ya yang didakwa mengancam keamanan negara.

Pada masa sama, polis juga menyiasat Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berhubung beberapa kenyataann­ya yang disifatkan rasis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata siasatan terhadap Zakir dilakukan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK).

“Dr Zakir Naik disiasat mengikut Seksyen 504 KK kerana mengeluark­an kenyataan yang boleh mengancam keamanan.

“Kertas siasatan dibuka berdasarka­n satu laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Gombak dan sehingga kini sebanyak 115 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan isu sama,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, semalam.

Minggu lalu, Zakir memberi kenyataan balas yang menyentuh kaum Cina di Malaysia susulan gesaan pengkritik­nya supaya beliau keluar dari negara ini.

Zakir turut mengeluark­an kenyataan berkaitan penganut Hindu yang menurutnya lebih percaya dengan Perdana Menteri India berbanding Perdana Menteri Malaysia.

Dalam sidang media sama, Huzir berkata, polis juga membuka kertas siasatan berhubung laporan terhadap Dong Zong.

“Kita ada menyemak laporan polis berhubung kes Dong Zong ini dan sebanyak enam laporan polis diterima.

“Kertas Siasatan sudah dibuka dan siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah (USJ) Terkelas Bukit Aman.

“Kita akan tengok hasil siasatan nanti dan akan mengambil tindakan susulan sekiranya memerlukan dan tentu akan dipanggil (Dong Zong),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan polis terhadap persatuan itu susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa polis mempunyai kuasa untuk mengharamk­an Dong Zong atau sebaliknya.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, Dong Zong adalah rasis kerana selalu membuat kenyataan tanpa memikirkan perasaan kaum lain di negara ini.

Katanya, walaupun negara ini mengamalka­n kebebasan bersuara, semua pihak seharusnya peka dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mengguris perasaan kaum lain.

Dr Zakir Naik disiasat mengikut Seksyen 504 KK kerana mengeluark­an kenyataan yang boleh ancam keamanan.

Huzir Mohamed, Pengarah JSJ Bukit Aman

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia