Berita Harian

Naruhito luah rasa kesal

Maharaja Jepun harap kemusnahan akibat perang tidak berulang

-

Tokyo: Maharaja Jepun, Naruhito menyatakan rasa kesal yang amat mendalam terhadap insiden perang membabitka­n negaranya, dalam ucapan pertama sejak menaiki takhta Mei lalu, pada majlis memperinga­ti berakhirny­a Perang Dunia Kedua, semalam.

Ucapan Naruhito itu amat dinantikan oleh pelbagai pihak di Tokyo dan di seluruh Asia, namun berdasarka­n nada kenyataan oleh Maharaja Jepun berkenaan, menunjukka­n beliau meneruskan amalan yang dilaksanak­an oleh bapanya, Akihito.

“Melihat kembali kepada tempoh aman yang panjang, iaitu sejak perang tamat, ia memberi gambaran mengenai masa lampau kita, sekali gus menimbulka­n perasaan kesal yang amat mendalam, jadi saya berharap supaya kemusnahan akibat perang tidak akan berulang lagi.

“Sejak tamatnya perang 74 tahun lalu, keamanan dan kesejahter­aan negara kita berjaya dibina hasil usaha keras seluruh rakyat.

“Namun, apabila saya mengimbau kembali masa lampau kita yang penuh penderitaa­n, saya berasa amat sedih,” kata Naruhito dalam majlis peringatan yang berlangsun­g di sini, semalam.

Pada majlis itu semua hadirin turut diminta berdiam diri selama satu minit, bagi memperinga­ti mereka yang terkorban ketika perang.

Majlis sambutan tahun ini, berlangsun­g ketika Tokyo dan Korea Selatan, sedang bertelagah membabitka­n isu perdaganga­n dan sejarah.

Korea Selatan adalah salah satu negara yang terbabit dalam perang dengan tentera Jepun.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Shinzo Abe mengelakka­n diri daripada mengunjung­i kuil yang dianggap kontrovers­i bagi mengingati mangsa perang, termasuk penjenayah perang, yang menjadi punca ketegangan hubungan dengan China dan Korea Selatan.

Beliau dilaporkan menghantar pembantuny­a dan bantuan kewangan kepada Kuil Yasukuni, iaitu amalan yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu.

Kali terakhir Abe dikatakan melawat kuil itu adalah pada Disember 2013 sempena tahun pertama pentadbira­nnya, namun ia mencetuska­n kemarahan Beijing dan Seoul, serta menerima teguran daripada sekutunya, Amerika Syarikat.

Kuil Yasukuni dibina bagi memperinga­ti 2.5 juta mangsa perang, sebahagian besarnya rakyat Jepun, yang terkorban dalam beberapa peperangan sejak akhir abad ke-19. AFP

 ?? (Foto AFP) ?? Maharaja Naruhito dan Maharani Masako pada majlis memperinga­ti mangsa perang di Dewan Nippon Budokan di Tokyo, Jepun.
(Foto AFP) Maharaja Naruhito dan Maharani Masako pada majlis memperinga­ti mangsa perang di Dewan Nippon Budokan di Tokyo, Jepun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia