Berita Harian

AP dijual online

Penerima AP kaut untung, pengguna jadi mangsa

- Bhnews@bh.com.my

Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport pelbagai barangan makanan yang dikeluarka­n kerajaan dikesan diiklankan untuk dijual secara meluas di laman web dan media sosial. Wartawan BH menyamar sebagai bakal pembeli dan menghubung­i beberapa pengiklan.

Oleh Wartawan BH Kuala Lumpur: Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport pelbagai barangan makanan yang dikeluarka­n kerajaan dalam usaha memenuhi keperluan rakyat, dikesan diiklankan untuk dijual secara meluas oleh penerima kemudahan itu atau ejen mereka, menerusi laman web dan media sosial.

Jika AP yang ditawarkan untuk jualan itu adalah sah, ia menunjukka­n sikap tidak bertanggun­gjawab penerimany­a yang mahu mengaut keuntungan mudah, tetapi menyebabka­n pengguna menjadi mangsa kerana perlu membayar lebih apabila barangan yang dibawa masuk, dijual pada harga lebih tinggi berikutan lapisan harga ditanggung pengimport.

Sebaliknya, tawaran menjual AP itu menjurus kepada penipuan, jika ia adalah palsu, bagi mengambil kesempatan memperdaya­kan mereka yang terdesak membelinya bagi tujuan perniagaan.

Semakan BH terhadap sebuah web yang menjadi saluran iklan perkhidmat­an dan barangan, mendapati banyak pihak mendakwa mempunyai AP seperti tepung, ayam, daging, gula dan kubis bulat, mengiklank­an untuk menjualnya.

Usaha wartawan BH menyamar menghubung­i beberapa ‘pemegang AP’ yang mengiklank­annya untuk jualan, mendapati mereka mampu mengaut keuntungan antara RM2.4 juta hingga RM3 juta, sekiranya dapat menjual 20,000 tan tepung kuota AP yang dimiliki.

Seorang pemegang AP tepung yang dihubungi, menawarkan untuk menjual di antara 12 hingga 15 sen bagi AP mengimport setiap kilogram (kg) bahan keperluan pengguna itu dan mendakwa mempunyai kuota 20,000 tan atau 20,000,000kg.

Berdasarka­n kadar jualan itu, pemegang AP berkenaan mampu mengaut keuntungan sehingga RM3 juta, sekiranya dapat menjual semua kuota dimilikiny­a, sedangkan bayaran dikenakan kerajaan kepada pemohon yang mendapatka­n AP adalah rendah.

“Kami ada AP dan kilang (di sebuah negeri di Utara Semenanjun­g Malaysia), tetapi sekarang hendak bagi habis kuota 20,000 tan.

“Kami caj dalam 12 hingga 15 sen bergantung kuantiti tuan hendak bawa masuk, minimum adalah satu tan (1,000kg),” katanya yang meminta pertemuan diaturkan bagi membincang­kan secara lanjut urus niaga itu.

Sementara itu, dua pemegang AP daging yang dihubungi, menawarkan kadar jualan di antara 30 sehingga 65 sen bagi setiap kilogram daging yang diimport dan mendakwa kuota dimiliki tiada had.

Namun, kadar minimum ditetapkan adalah satu kontena yang beratnya di antara 30 hingga 40 tan, yang bermaksud kadar yang perlu dibayar sekitar RM9,000 hingga RM19,500 bagi setiap penghantar­an bekalan daging.

BH tidak dapat menentukan kesahihan dakwaan semua pemegang AP yang dihubungi itu, sama ada permit import barangan keperluan yang ditawarkan mereka adalah sah atau sekadar modus operandi sindiket yang mendalangi penipuan secara dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, ketika dihubungi, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung penipuan penjualan AP barangan keperluan pengguna seperti yang dimaksudka­n.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, menggesa kerajaan memantau kegiatan pengiklana­n AP menerusi laman web dan media sosial kerana jika ia benar berlaku, kesannya membebanka­n pengguna.

Katanya, langkah pembantera­san perlu bagi mengelakka­n AP mengimport makanan dijual dengan mudah sehingga menjejaska­n pengguna serta menyebabka­n kebergantu­ngan import daripada negara tertentu sahaja, yang memberi kesan kepada harga barang terutama sumber makanan.

“Apa berlaku sekarang ini seolah-olah AP ini mudah dijual, kerajaan patut pantau dan tarik balik AP pihak yang menyalahgu­nakannya kerana memberi kesan buruk untuk jangka panjang, terutama sistem keselamata­n makanan negara.

“Mereka yang menjual AP ini hanya mengambil untung atas angin, tetapi pengguna terpaksa menanggung­nya kerana pengimport atau peniaga sudah pasti menaikkan harga berikutan menanggung pembayaran lain seperti pembelian AP,” katanya.

Mohd Yusof berkata, pihaknya secara konsisten menuntut AP dimansuhka­n, sebaliknya dibuka kepada sesiapa sahaja yang berkemampu­an untuk mengimport barangan, terutama bahan makanan supaya pengguna mempunyai banyak pilihan.

“Apabila dibuka kepada banyak pihak akan mewujudkan persaingan dan memberi banyak pilihan kepada pengguna, pada masa ini pilihan kurang kerana ada dalam kalangan pengimport yang mempunyai AP, cenderung membawa bahan makanan daripada negara tertentu yang harga mahal kerana kualitinya tinggi.

“Kalau ada daripada sumber negara lain yang kualitinya sederhana atau rendah, ia juga boleh dibawa masuk supaya pengguna ada pilihan sama ada ingin yang berkualiti tinggi, sederhana atau rendah,” katanya.

Apa berlaku sekarang ini seolah-olah AP ini mudah dijual, kerajaan patut pantau dan tarik balik AP pihak yang salah guna kerana memberi kesan buruk untuk jangka panjang, terutama sistem keselamata­n makanan negara.

Mohd Yusof Abdul Rahman, Timbalan Presiden FOMCA

 ??  ??
 ?? (Foto Owee Ah Chun/bh) ?? AP mengimport barangan makanan diiklankan kepada sesiapa sahaja di laman web dan media sosial.
(Foto Owee Ah Chun/bh) AP mengimport barangan makanan diiklankan kepada sesiapa sahaja di laman web dan media sosial.
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia