Berita Harian

Perniagaan nurseri, tanam rumput masih beroperasi

-

Sungai Buloh: Operasi perniagaan nurseri dan penanaman rumput di tapak Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) masih berjalan seperti biasa semalam, walaupun sudah digempur Jabatan Imigresen Selangor.

Bagaimanap­un, tinjauan wartawan BH di lokasi mendapati, kehadiran pekerja asing di premis nurseri dan tapak penanaman rumput yang diceroboh itu berkuranga­n berbanding sebelum ini.

Justeru, tindakan imigresen menggempur lokasi terbabit selepas pendedahan BH pada Isnin lalu dilihat memberi impak terhadap kehadiran pendatang asing yang menceroboh lokasi terbabit.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi, berkata pihaknya bercadang mengadakan operasi bersepadu dengan penyertaan lebih banyak agensi penguatkua­saan pada masa depan.

Katanya, operasi bersepadu itu sebagai satu isyarat kepada pengusaha mahupun pendatang asing di lokasi berkenaan bahawa pihaknya memandang serius isu terbabit.

“Pengusaha nurseri atau tapak penanaman rumput di lokasi menggajika­n pendatang asing di premis perniagaan mereka boleh dikenakan tindakan jika didapati melanggar undang-undang.

“Kita tidak akan berkomprom­i dengan mana-mana pihak berhubung isu ini atau apa-apa isu berkaitan pendatang asing tanpa izin di Selangor,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

BH kelmarin melaporkan, seramai 32 pendatang berusia 19 hingga 62 tahun yang majoritiny­a dari Indonesia ditahan dalam operasi bersepadu dilancarka­n Imigresen Selangor dan Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN).

Yang turut ditahan, seorang wanita tempatan berusia 27 tahun dipercayai menggajika­n pendatang asing di premis perniagaan nurserinya di lokasi terbabit.

Isnin lalu, BH mendedahka­n selepas lebih tiga tahun penceroboh­an pendatang asing di tapak PKKN, keadaan terkini tidak banyak berubah apabila masih ada tanah kerajaan di sekitar pusat itu kekal diceroboh pengusaha nurseri dan penanaman rumput.

Laporan BH itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui berlaku perlanggar­an undang-undang oleh pihak terbabit dan menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan ke atas pihak yang didapati masih menceroboh tanah di tapak PKKN.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia