Berita Harian

Ini cucu saya nombor 82: Tunku Azizah

-

Maran: Kelibat kanak-kanak perempuan berpakaian serba merah yang berdiri di pintu pagar sebuah rumah di Taman Sri Keramat di sini, menarik perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h.

Kanak-kanak itu, Puteri Norliyana Damia, 7, mengenakan rantai leher dengan loket berbentuk bujur yang juga kurniaan khas kepada setiap kanak-kanak tabung uji menerusi Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan baginda.

“Ini cucu saya nombor 82. Anak TAFF. Saya ini neneknya,” titah Tunku Azizah berulang kali kepada mereka yang berada di pekarangan rumah itu bagi menyambut keberangka­tan tiba baginda ke taman perumahan itu di sini, semalam.

Tunku Azizah dan Yang di-pertuan Agong Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah semalam, berkenan mencemar duli menziarah tiga pesakit kronik di Taman Sri Keramat dalam lawatan baginda ke daerah Maran semalam.

Tunku Azizah juga berkenan membaca maklumat kelahiran yang diterap pada loket itu, dan kemudianny­a bertanya kepada ayah Puteri Norliyana Damia, Zainudin Osman, 51, jika anaknya dilahirkan tidak cukup bulan kerana beratnya semasa dilahirkan pada 22 Jun 2012 hanya 2.3 kilogram.

Baginda yang dilihat sangat teruja bertemu ‘bayi TAFF itu’ kemudianny­a menyembah maklum perkara itu kepada Sultan Abdullah dan mengajak baginda untuk sama-sama bergambar kenangan dengan Puteri Norliyana Damia dan Zainudin.

Sementara itu, Zainudin, yang menetap di taman perumahan itu berkata, beliau dan anaknya hadir lebih awal di situ, kerana mahu berada di barisan hadapan untuk bertemu dengan Tunku Azizah.

Peniaga itu berkata, beliau tahu keberangka­tan tiba Tunku Azizah ke situ menerusi group Whatsapp taman perumahan dan terus memaklumka­n perkara itu kepada isterinya Nor Rabiatun Razali, 42, yang mempunyai tugasan di Pekan semalam.

“Saya tidak pernah berpeluang untuk mengucapka­n terima kasih kepada baginda secara bersemuka kerana TAFF membolehka­n saya dan isteri merasai pengalaman sebagai ibu bapa selepas 12 tahun berkahwin. Malah, inilah satu-satunya zuriat kami buat masa ini.

“Semasa doktor mengesahka­n isteri mengandung, kami berdua begitu gembira. Saya rasa malu jika saya tidak datang ke sini hari ini kerana jasa baginda kepada kami tidak mungkin dapat kami balas,” katanya. BERNAMA

 ?? [Foto BERNAMA] ?? Al-sultan Abdullah melihat Tunku Azizah Aminah Maimunah Kasih di Taman Sri Keramat, Maran, semalam. mencium Norliyana Damia pada Program Ziarah
[Foto BERNAMA] Al-sultan Abdullah melihat Tunku Azizah Aminah Maimunah Kasih di Taman Sri Keramat, Maran, semalam. mencium Norliyana Damia pada Program Ziarah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia