Berita Harian

Harap keluarga Nora Anne tabah

-

Siapa sangka percutian selama dua minggu yang sepatutnya berakhir semalam dengan memori indah, sebaliknya bertukar menjadi tragedi lara. Malah, tiada siapa yang meminta berlaku perkara tidak diingini tetapi takdir mengatasi segala-galanya apabila remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, ditemui mati selepas hilang pada 4 Ogos lalu.

Nora Anne bersama ibu bapa serta dua adiknya, berhasrat meluangkan masa bersama selama dua minggu di sebuah resort yang mempunyai pemandanga­n cukup indah di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan.

Bagaimanap­un, tidak sampai sehari menginap di situ, remaja yang menghadapi masalah lembam itu dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar sendiri menerusi tingkap di ruang tamu. Sebaik mendapat maklumat mengenai kehilangan remaja itu pelbagai persoalan timbul apabila memikirkan lokasi resort itu yang terletak di lereng bukit dan dikeliling­i hutan tebal.

Tidak jauh dari kawasan resort itu juga adalah Gunung Berembun yang dikenali dalam kalangan pendaki sebagai antara gunung yang mempunyai laluan mencabar kerana banyak jalan licin dan laluan menegak.

Berpengala­man mendaki sendiri gunung dengan ketinggian 1,014 meter dua tahun lalu, membuatkan saya terfikir adakah remaja itu sudah berjalan sehingga ke gunung itu secara bersendiri­an.

Bagaimanap­un saya amat berharap dia dijumpai segera dalam keadaan selamat, tambahan pula dia dipercayai tidak memakai pakaian yang lengkap seperti dimaklumka­n ibu bapanya yang melihatnya buat kali terakhir pada malam dia didapati hilang.

Tanpa membuang masa, pihak berkuasa dengan pantasnya mengumpul pasukan bagi menggerakk­an operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne. Operasi itu turut disertai pelbagai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk pasukan elit Komando VAT 69, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 Unit Senoi Praaq, Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Anjing Pengesan (K9).

Turut bertungkus-lumus mencari remaja itu adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan negeri, penduduk tempatan termasuk Orang Asli serta pendaki sukarelawa­n.

Hari ketiga operasi SAR, polis memaklumka­n mereka berdepan kesukaran kerana jejak remaja itu hanya dapat dikesan oleh unit anjing pengesan 100 meter dari lokasinya hilang. Namun, itu tidak melemahkan semangat pasukan SAR kerana mereka tetap meneruskan pencarian, malah meluaskan lagi kawasan pencarian dari empat kilometer kepada enam kilometer.

Masuk hari kelima pasukan SAR masih optimis remaja itu masih hidup berikutan kawasan itu mempunyai banyak sumber air, iaitu dari sungai. Polis turut menggunaka­n strategi baharu iaitu memainkan rakaman suara ibu Nora Anne dari telefon bimbit menggunaka­n pembesar suara seolah-olah wanita itu memanggil anaknya.

Ketika ini saya amat berharap rakaman suara Nora...darling, Nora...i love you, Nora...mum is here yang mula berkumanda­ng di hutan dapat membantu mengesan remaja itu atau setidaknya mengejutka­nnya jika dia tertidur di mana-mana.

Saban hari polis turut menambah keanggotaa­n operasi supaya misi SAR Nora Anne membuahkan hasil sekali gus membawa sinar kepada keluarga. Hujan lebat bukan penghalang utama misi berjalan, malah hari kelapan operasi SAR dijalankan pada sambutan Aidiladha bagi umat Islam, namun pasukan SAR tetap tidak berputus asa mencari gadis malang itu.

Lebih membanggak­an polis menerima banyak permohonan daripada orang awam, terutama pendaki sukarelawa­n yang mahu turut serta dalam misi SAR itu. Masuk hari kesembilan operasi SAR, buat kali pertama media turut dipelawa menyertai misi itu di Gunung Berembun.

Peluang yang ada tidak dilepaskan media yang mahu sertai misi itu sejak dari awal lagi. Ini kerana selama lapan hari sebelum itu, media hanya dibenarkan menunggu di kawasan berhampira­n pintu masuk resort bagi menantikan sebarang perkembang­an operasi.

Pada hari sama, keluarga Nora Anne mengumumka­n wang ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga anak mereka berjaya ditemui. Masuk hari kesepuluh iaitu pada 13 Ogos operasi SAR masih diteruskan seperti biasa dengan keanggotaa­n ditingkatk­an menjadikan seramai 313 orang.

Kira-kira jam 2 petang terdengar desas-desus yang mengatakan satu mayat perempuan ditemui berhampira­n anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort Nora Anne dilaporkan hilang dan itu masih dalam kawasan pencarian remaja itu.

Ketika itu perasaan menjadi terkejut dan jika boleh enggan mengakui itu mayat remaja terbabit kerana masih mengharapk­an dia ditemui dalam keadaan bernyawa. Namun sebaliknya, apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan, ternyata mayat itu disahkan Nora Anne selepas ahli keluargany­a membuat pengecaman.

Sedih. Itu perkataan yang mampu diungkap. Perasaan keluargany­a tidak dapat sekali saya gambarkan kerana sudah tentu luluh hati mereka melihat sendiri tubuh kaku anak istimewa yang dibesarkan di hadapan mata.

Hasil bedah siasat mendapati remaja itu mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang, selain akibat stres berpanjang­an. Remaja itu dipercayai mati dua atau tiga hari sebelum mayatnya ditemui dan ini bermakna selama kira-kira tujuh hari dia masih mampu bertahan mungkin hanya dengan minum air.

Saya percaya jika Nora Anne berjaya menemui makanan, sudah pasti dia dapat bertahan seterusnya berjaya ditemui dalam keadaan selamat. Saya berharap ibu bapa Nora Anne, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya berusia sembilan dan 12 tahun terus tabah dan menerima ketentuan ini.

Saya percaya tiada siapa di dunia ini yang mahu percutian idaman berakhir dengan tragedi yang memilukan.

Penulis adalah wartawan Berita Harian Negeri Sembilan

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia