Berita Harian

Tanah rizab Melayu di Terengganu kritikal

-

Kuala Terengganu: Kedudukan tanah rizab Melayu di Terengganu semakin membimbang­kan apabila sehingga kini hanya tinggal 0.003 peratus atau kurang 100 hektar yang masih ada.

Jumlah sepatutnya adalah sekitar 12 hingga 15 peratus tanah rizab Melayu di setiap negeri, seperti termaktub dalam Perlembaga­an.

Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail, berkata keadaan itu amat kritikal dan perlu segera diatasi berikutan 95 peratus penduduk Terengganu adalah Melayu dan kawasan tanah rizab Melayu di negeri ini terlalu kecil berbanding jumlah keluasan tanah negeri 1.295 juta hektar.

“Kedudukan tanah rizab Melayu di Terengganu adalah yang terendah di Malaysia sedangkan negeri ini mempunyai populasi masyarakat Melayu antara tertinggi dalam negara.

“Kedudukan kawasan tanah rizab Melayu di Terengganu memang sangat rendah jika dibandingk­an negeri lain seperti Pahang yang mempunyai 12.41 peratus tanah rizab Melayu, Kelantan (31.82 peratus), Kedah (31.86 peratus) dan Perak (43.50 peratus).

“Jika dibandingk­an negeri yang komposisi pendudukny­a agak seimbang atau peratusan penduduk berbangsa Melayu tidak setinggi di Pantai Timur pun mempunyai keluasan tanah rizab Melayu yang jauh lebih tinggi.

“Jadi kedudukan ini memperliha­tkan Terengganu agak pelik dan tidak munasabah. Mustahil kerajaan negeri tidak sedar akan perkara ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, kepincanga­n isu tanah rizab Melayu di negeri ini didakwa berpunca daripada pentadbira­n kerajaan Barisan Nasional (BN) yang meminda Enakmen Tanah Rizab Melayu (ERM) Terengganu pada 2015 dan 2016.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika itu meluluskan usul yang mana pindaan enakmen itu membolehka­n BPUNT menjadi badan yang boleh dipindahka­n tanah rizab Melayu Terengganu kepadanya.

0.003 Peratus baki tanah rizab Melayu di Terengganu

“Oleh kerana pindaan itu sudah berkuat kuasa lebih dua tahun tanpa ada kuasa untuk kita sekat, saya percaya usaha memindahka­n tanah rizab Melayu kepada BPUNT untuk komersial dilakukan secara berterusan.

“Sebagai contoh BPUNT mewujudkan syarikat berkaitan pemaju hartanah, wujudkan usaha sama dan akhirnya tanah itu dijual atau dilepaskan begitu sahaja tanpa diganti,” katanya.

Beliau berkata, lebih memburukka­n keadaan apabila ada tanah rizab Melayu di negeri ini mungkin diambil untuk projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan tidak diganti.

Berikutan itu, Azan menggesa kerajaan negeri PAS mengotakan janji ketika menjadi pembangkan­g pada 2015 dan 2016 supaya segera membatalka­n enakmen pindaan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia