Berita Harian

Maut pulang ziarah kematian

Suami isteri antara tiga terbunuh dalam nahas turut babit 12 mangsa cedera

- Cnews@nstp.com.my

Oleh Ramli Ibrahim Gua Musang: “Saya tidak sangka adik dan suaminya ke Johor menziarah kematian anak saudara mereka, namun mereka pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Mesra, di sini.”

Demikian luah Kamarulzam­an Mohamed, 50, iaitu abang kepada Nor Hayati, 43, yang maut dalam kemalangan membabitka­n kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah van Toyota Hiace di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya, kelmarin.

Selain Nor Hayati, suaminya, Che Azmi Che Hamzah, 48, dan pemandu van, Zulfaizan Muhammad, 43, turut maut dalam kemalangan jam 4.50 pagi, manakala 12 mangsa lagi cedera dan dirawat di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Kemalangan itu menyebabka­n tiga anak Che Azmi iaitu Mohamad Faris Faisal, 15; Mohamad Afiz Zulhilmi, 13, dan Nur Damia Sofea, 7, cedera dan dirawat di HKK.

Isteri Zufaizan iaitu Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39, dan lapan anak mereka, Siti Fatimah Zulfaizan, 15; Masyitah, 14; Khaulah,11; Solehah, 9; Mawaddah, 7; Sakinah, 5; Muhammad Saad, 3, dan Ahmad Zaid berusia setahun, cedera dan dirawat di HGM.

Kamarulzam­an berkata, adiknya bersama suami dikatakan tergesa-gesa pulang ke Gua Musang selepas menziarah anak saudara Che Azmi yang meninggal dunia di Johor Bahru.

“Dia tiba di Johor Bahru pagi semalam (kelmarin) sebelum bertolak balik jam 5 petang tanpa berehat dahulu di sana. Mungkin mereka mengantuk ketika memandu.

“Kami pada mulanya tak percaya kejadian ini berlaku kerana setahu saya dia ke Johor Bahru lima beranak, takkan pulang dalam masa yang segera,” katanya ketika ditemui di HGM, semalam.

Kamarulzam­an berkata, ketika kejadian, pasangan suami isteri itu hanya membawa tiga anak mereka, manakala dua lagi anak mereka tidak ikut iaitu Mohamad Izat Danial, 23, kerana belajar di Universiti Islam Antarabang­sa (UIA) dan Mohamad Syakir Aiman, 18, bekerja di kedai makan di bandar ini.

“Kami amat terkejut dengan kejadian ini, namun perlu kuat demi anak-anak mereka. Insyaallah kami akan jaga kelimalima anak saudara ini dengan baik,” katanya.

Adik kepada Che Azmi, Azwan Hamzah, 30, pula berkata, ketika kejadian dia sedang memandu kereta di belakang kereta arwah.

“Saya melihat arwah terlalu tergesa-gesa untuk pulang ke Gua Musang dan kami berkonvoi sepanjang perjalanan pulang bersama. Saya gementar melihat kejadian berlaku di depan mata dan bergegas keluar memberi pertolonga­n,” katanya.

Che Azmi bertugas sebagai Ketua Kerani Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang, manakala Nor Hayati bertugas sebagai Guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Muhammad Fakhry Petra Gua Musang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superinten­dan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan Toyota Avanza dinaiki pasangan itu bersama tiga anak mereka dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Gua Musang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kawasan selekoh, kenderaan mereka hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan sebelum bertembung dengan sebuah van Toyota Hiace dinaiki 10 sekeluarga dari arah bertentang­an.

“Kejadian itu menyebabka­n pemandu van dan penumpang Toyota Avanza, Nor Hayati yang parah di kepala maut di tempat kejadian.

“Che Azmi pula meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di HGM,” katanya di sini, semalam.

Mohd Taufik berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dipanggil bagi membantu mangsa yang tersepit dalam dua kenderaan itu.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitka­n bilangan yang ramai dan tindakan segera perlu dilakukan bagi menyelamat penumpang dua kenderaan berkenaan.

“Kita sedih kerana kemalangan itu berlaku di musim perayaan Aidiladha dan yang terbesar setakat tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, mayat tiga mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumika­n.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987.

 ?? (Foto ihsan PDRM) ?? Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya, kelmarin.
(Foto ihsan PDRM) Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya, kelmarin.
 ??  ?? Che Azmi Che Hamzah
Che Azmi Che Hamzah
 ??  ?? Nor Hayati Mohamed
Nor Hayati Mohamed

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia