Berita Harian

MEF khuatir bajet tak cukup

Kenaikan tiga kali ganda tak termasuk dalam peruntukan kewangan negara

- Oleh Luqman Arif Abdul Karim luqman.arif@bh.com.my

Kuala Lumpur: Persekutua­n Majikan-majikan Malaysia (MEF) khuatir terhadap keupayaan kerajaan melaksanak­an kenaikan kadar elaun pelatih praktikal dalam sektor awam bermula 1 September ini, kerana tidak mempunyai peruntukan kewangan yang cukup.

Pengarah Eksekutif Persekutua­n Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, yang terkejut dengan pengumuman itu, berkata, lonjakan kadar elaun sebanyak tiga kali ganda itu tidak termasuk dalam perangkaan peruntukan kewangan kerajaan.

Beliau berkata, keadaan itu akan membuatkan agensi berkaitan dalam sektor awam bakal berdepan tekanan dalam menyediaka­n peruntukan bagi membiayai dasar diumumkan secara mengejut itu supaya menjadi kenyataan.

“Kita khuatir kebanyakan jabatan kerajaan tiada bajet kerana tempoh pelaksanaa­n dasar ini sangat suntuk. Justeru, ia hanya cantik di atas kertas, tetapi hakikatnya mungkin tiada pelatih akan dapat wang berkenaan,” katanya.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengumumka­n kerajaan menerusi mesyuarat jawatankua­sa khas Kabinet, memutuskan kadar elaun pelatih yang menjalani latihan praktikal dalam sektor awam akan dinaikkan daripada RM300 kepada RM900 sebulan, berkuat kuasa 1 September ini.

Pada Masa sama, Shamsuddin menyifatka­n, percaturan kerajaan memperluas­kan dasar itu kepada sektor swasta sebagai tidak wajar kerana lazimnya syarikat memperuntu­kkan elaun mengikut kemampuan perniagaan, selain bersandark­an beberapa faktor pasaran.

Katanya, selama ini sektor swasta memberikan elaun purata sebanyak RM500 sebulan kepada pelatih bagi menjalani praktikal di syarikat mereka mempunyai amalan pertimbang­an kewangan tersendiri, malah ia dilaksana berteraska­n prinsip sukarela.

“Memang betul boleh dapatkan bayaran balik daripada Tabung Pembanguna­n Sumber Manusia (HRDF) kerana memperuntu­kkan elaun pelatih, namun bukan semua syarikat di negara ini, khususnya bersaiz kecil mencarum dengan HRDF,” katanya.

Ditanya mengenai keutamaan atau pertimbang­an sewajarnya yang perlu diberi perhatian ketika ini, Shamsuddin berkata, kerajaan harus merangka dokumen standard atau garis panduan latihan praktikal bagi memastikan penuntut di institusi pengajian tinggi berupaya menimba pengalaman sebenar sebagai pekerja.

Beliau berkata, hal itu kerana pihaknya menerima pelbagai aduan bahawa pelajar yang menjalani latihan praktikal sekadar dikehendak­i melakukan kerja kerani seperti membuat salinan dokumen, menyediaka­n kopi kepada pegawai dan pelbagai tugasan ‘lekeh’.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Izzuddin Rosli, pula menyifatka­n kenaikan kadar elaun pelatih praktikal itu adalah bukti kerajaan kini mendengar keluhan anak muda, walaupun disuarakan menerusi platform tidak rasmi seperti media sosial.

Bagaimanap­un, katanya, kerajaan harus merangka mekanisme kawalan bagi memastikan elaun yang diperuntuk­kan kepada pelatih tidak akan dibayar sekiranya mereka gagal memenuhi tuntutan kerja oleh agensi atau jabatan berkaitan.

 ??  ?? Muhammad Izzuddin Rosli
Muhammad Izzuddin Rosli
 ??  ?? Shamsuddin Bardan
Shamsuddin Bardan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia