Berita Harian

Pergerakan nilai ringgit serap kejutan luaran

-

Pergerakan ringgit yang fleksibel membantu menyerap kejutan luaran, sekali gus mengekang gangguan kepada aktiviti ekonomi negara.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), yang mana pergerakan­nya sejajar dengan prestasi mata wang serantau lain, telah memainkan peranan penting dalam menyerap kejutan luaran.

Beliau berkata, nilai ringgit menyusut sebanyak 1.5 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku kedua 2019 sejajar dengan mata wang serantau lain di tengah-tengah ketidakten­tuan global dan domestik.

“Bagi dua bulan pertama sukuan ini, pasaran kewangan domestik terjejas oleh sentimen pelabur yang berhati-hati di tengah-tengah prospek pertumbuha­n global yang sederhana dan peningkata­n ketegangan perdaganga­n global.

“Kesemua ketidakten­tuan ini nyata masih ketara, lantas terus menjejaska­n kesanggupa­n pelabur untuk mengambil risiko dalam pasaran kewangan serantau, termasuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumka­n prestasi ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2019, di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam tempoh 1 Julai hingga 15 Ogos, nilai ringgit menyusut sebanyak 1.2 peratus berbanding dengan dolar AS.

Sejak awal tahun hingga kini pula, nilai ringgit telah menyusut sebanyak 1.3 peratus berbanding dengan dolar AS dan corak aliran itu sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau.

Pada masa akan datang, gabungan faktor global akan terus mempengaru­hi pergerakan mata wang serantau, termasuk ringgit.

Walaupun terdapat sentimen yang lemah, pasaran bon dan ekuiti domestik kekal disokong oleh permintaan yang berterusan daripada pelabur institusi domestik sepanjang suku berkenaan.

Prestasi bon domestik dan pasaran ekuiti juga telah disokong oleh pemulihan sentimen pelabur menjelang akhir sukuan itu berikutan jangkaan pelonggara­n dasar monetari oleh bank pusat utama yang membawa kepada penambahba­ikan selera risiko pelabur, sekali gus memacu aliran masuk portfolio asing.

Pegangan asing bon kerajaan Malaysia berada pada paras 22.2 peratus pada akhir Julai 2019 dengan pelabur jangka panjang kekal sebagai pemegang utama bon kerajaan Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia