Berita Harian

Kerajaan nilai hapus Lynas dari Gebeng: PM

Permintaan ramai tetap diberi perhatian walau diisytihar tidak bahaya

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin dan Suhaila Shahrul Annuar bhnews@nstp.com.my

Sepang: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan menilai permintaan orang ramai yang mahu kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) dihapuskan dari Gebeng.

Perdana Menteri berkata, walaupun ada kajian mengenai Lynas dan ia diisytihar­kan tidak berbahaya, namun kerajaan mengambil maklum mengenai permintaan terbabit.

“(Walaupun ada kajian dan diisytihar­kan tidak berbahaya) tetapi sudah pasti, orang akan tetap berasakan kita perlu ‘hapuskan’ Lynas dari situ, baiklah kita akan lihat perkara itu,” katanya selepas melawat ibu pejabat Airasia Redq di sini, semalam.

Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) kelmarin mengenakan tiga syarat kepada Lynas selepas memperbaha­rui lesen operasi kilang itu selama enam bulan.

LPTA dalam kenyataann­ya, berkata syarat itu diputuskan selepas Kerajaan Persekutua­n Australia dan Kerajaan Negeri Western Australia memaklumka­n kepada Malaysia bahawa pihaknya tidak akan menerima penghantar­an balik residu radioaktif Water Leach Purificati­on (WLP) Lynas.

Antara syaratnya adalah Lynas perlu mengemukak­an perancanga­n bagi pembinaan kemudahan cracking and leaching (pemecahan dan larut-resap) di luar negara bagi tujuan memindahka­n proses terbabit yang kini dijalankan di lojinya di Gebeng, Kuantan, Pahang keluar dari Malaysia.

Kemudahan itu hendaklah dibina di luar negara dan mula beroperasi dalam tempoh empat tahun dari tarikh sah lesen.

Selepas kemudahan itu mula beroperasi di luar negara, pemegang lesen tidak lagi dibenarkan menghasilk­an residu radioaktif yang melebihi satu becquerel per gram di lojinya di Gebeng, Kuantan.

Mengulas mengenai Himpunan anti-lynas pada Ahad ini yang dijangka berakhir dengan membakar manifesto Pakatan Harapan sebagai lambang kerajaan gagal menunaikan janjinya ke arah pembanguna­n yang mapan, Dr Mahathir berkata, membakar manifesto tidak akan menyelesai­kan apa-apa.

“Ya, mereka boleh membakar manifesto, tetapi perlu menangani perkara ini dengan cara yang masuk akal, mereka tidak boleh hanya melakukan pembakaran manifesto dan mengharapk­an segala-galanya dapat diselesaik­an.

“Saya pasti jika anda membakar semua manifesto, ia tidak menyelesai­kan apa-apa, ia hanya membuat orang marah.

“Pada masa sama, saya mengakui ketika kita merangka manifesto, banyak perkara yang kita tidak tahu dan sekarang, kita mendapat pelbagai maklumat berbeza dan perlu memberi maklum balas,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia