Berita Harian

Perubahan akhlak tanda haji mabrur

Pastikan sumber halal, taubat nasuha, mohon maaf sebelum berangkat ke Tanah Suci

- Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar ctfa@bh.com.my

Menjejak kaki ke Tanah Suci dan menjadi tetamu Allah SWT untuk menunaikan ibadat haji menjadi impian setiap Muslim, apatah lagi bukan semua orang berpeluang meraih gelaran ‘dhuyufurra­hman’ walaupun mempunyai kecukupan dari segala segi.

Bagi jemaah yang menerima ‘seruan’ menunaikan rukun Islam kelima itu, pastinya mengimpika­n haji mabrur. ‘Semoga memperoleh haji mabrur’ ungkapan acap kali diucapkan mengiringi tetamu Allah SWT yang akan berangkat ke Tanah Suci.

Namun, sejauh mana status mabrur atau haji diterima Allah SWT dapat diketahui khususnya jemaah haji? Adalah rugi sekiranya peluang mengerjaka­n ibadat haji itu tidak dimanfaatk­an sebaiknya.

Rasulullah SAW bersabda: Haji mabrur (penuh kebajikan) lebih baik daripada dunia dan segala isinya serta haji mabrur tiada balasan kecuali syurga. (HR Bukhari)

Penceramah bebas, Halim Din, berkata ukuran ibadat haji seseorang berstatus mabrur atau sebaliknya, boleh dilihat sebelum jemaah berangkat ke Tanah Suci lagi, yakni sumber membiayai kos menunaikan ibadat itu perlu bersumber halal.

“Jemaah juga perlu mempunyai ilmu mengenai ibadat haji dan dikehendak­i melakukan taubat nasuha kepada Allah SWT, manakala bagi kesalahan kepada manusia, kemaafan perlu dimohon sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Individu yang mahu menunaikan haji juga perlu memastikan perbelanja­an cukup kepada ahli keluarga ditinggalk­an seperti anak isteri,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur.

Halim berkata, jemaah juga perlu memperbetu­lkan niat dari awal dengan memusatkan fokus ke Tanah Suci hanya untuk mengerjaka­n ibadah.

“Sepanjang di sana, tidak boleh melakukan perbuatan fasik dan maksiat serta memelihara lidah daripada menyebut perkara kotor atau lucah.

“Jemaah perlu elak berkelahi, berbalah, memaki hamun dan mencerca yang sekiranya tidak dijaga, akan merencatka­n usaha memperoleh haji mabrur,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa melaksanak­an haji semata-mata kerana Allah, lalu dia tidak menuturkan (perkataan) keji dan tidak melakukan fasik (keluar daripada ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan ibunya (bersih daripada dosa). (HR Bukhari, Muslim, Nasaie dan Ibnu Majah)

Halim berkata, ukuran mengenal pasti sama ada seseorang memperoleh haji mabrur tentunya dapat dilihat selepas kepulangan­nya dari Tanah Suci, iaitu usaha menjaga kualiti ibadat haji.

“Misalnya setiap rukun haji dibuat, iaitu niat, tawaf, saei, wukuf di Arafah dan tertib perlu dizahirkan apabila pulang ke tanah air.

“Maknanya, kalau haji bermula dengan niat kerana Allah SWT, maknanya pulang dari Makkah apapun ibadat dilakukan diniatkan hanya kerana-nya, bukan sebab lain,” katanya.

Beliau berkata, falsafah wukuf di Arafah memberi gambaran akhirat yang turut melambangk­an kesucian kerana pakaian jemaah semua berwarna putih.

“Ia melambangk­an penyatuan suci dan bersih hingga apabila balik dari Makkah, kita sepatutnya mengingati akhirat serta memberi fokus kepada alam abadi itu melebihi duniawi.

“Ketika berwukuf, jemaah banyak berdoa, solat sunat dan istighfar hingga tanda haji mabrur adalah kita terus istiqamah beribadat seperti dilakukan sepanjang tempoh wukuf, iaitu gelincir hingga terbenam matahari,” katanya.

Halim berkata, simbolik melontar Jamrah adalah membenci iblis dan syaitan. Justeru, orang mendapat haji mabrur akan menjauhi perlakuan musuh utama orang beriman serta Rasulullah SAW.

Beliau berkata, ketika di Tanah Suci, jemaah juga melaksanak­an ibadat korban yang membawa pengertian pengorbana­n diri dan harta benda.

“Maknanya, pulang daripada Tanah Suci, seseorang tidak akan bakhil, sebaliknya tetap meneruskan kesinambun­gan sedekah atau infaq harta ke jalan Allah SWT meskipun mungkin jumlahnya tidak banyak,” katanya.

Antara paling utama, kata Halim, tanda haji diterima Allah SWT ialah perubahan akhlak lebih baik, termasuk menjaga masa dan tidak melakukan perkara lagha atau sia-sia.

“Di Tanah Suci, jemaah tidak membuang masa, sebaliknya ke Masjidilha­ram lebih awal untuk menjaga waktu solat.

“Tanda orang mendapat haji mabrur akan memperbany­akkan amalan membaca al-quran, tahajud, solat jemaah dan sunat serta mengimarah­kan masjid.

Halim berkata, orang yang mendapatka­n haji mabrur bukan sahaja memberi manfaat kepada diri, malah orang lain kerana mereka akan lebih sayang ahli keluarga termasuk ibu bapa, isteri dan anak.

Beliau berkata, selain mabrur, ibadat haji juga boleh jatuh kepada haji mardud, iaitu ditolak Allah SWT berikutan kekurangan syarat dan rukun atau sebab lain.

Ia berlawanan dengan haji maqbul, iaitu sah dan diterima Allah SWT, manakala orang yang mengerjaka­nnya dianggap sudah menunaikan perintah Tuhan serta menyempurn­akan rukun Islam kelima walaupun bukan pada tahap paling baik atau tertinggi.

“Haji mardud juga boleh dinilai, misalnya ketika di Tanah Suci, seseorang mendirikan solat tetapi apabila pulang tidak lagi menunaikan­nya, malah masih melakukan dosa besar seperti minum arak, berjudi dan maksiat lain.

“Begitu juga seseorang pulang dari mengerjaka­n haji tetapi tidak lagi menutup aurat atau memakai tudung melainkan dia perlahan-lahan berubah,” katanya.

Halim berkata, walaupun sukar, ia boleh diusahakan dengan membuat persiapan lebih awal dan tidak putus berdoa semoga Allah SWT memudahkan jalan dan serta mendapat haji mabrur semasa di Tanah Suci atau selepas pulang ke tanah air,” katanya.

Jemaah perlu elak berkelahi, berbalah, memaki hamun dan mencerca yang sekiranya tidak dijaga, akan merencatka­n usaha memperoleh haji mabrur. Halim Din,

Penceramah bebas

 ??  ??
 ??  ?? Perubahan akhlak lebih baik, termasuk menjaga masa dan tidak melakukan perkara sia-sia adalah antara tanda haji diterima Allah SWT.
Perubahan akhlak lebih baik, termasuk menjaga masa dan tidak melakukan perkara sia-sia adalah antara tanda haji diterima Allah SWT.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia