Berita Harian

Sarawak, Singapura perkukuh dagangan

Lebih ramai komuniti pelabur negara jiran berhasrat tanam modal dalam pelbagai sektor

- Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad amifaiz@bh.com.my

Kuching: Singapura diyakini terus menjadi rakan dagang utama Sarawak, dengan lebih ramai komuniti pelabur dari negara jiran itu berhasrat menanam modal dalam pelbagai sektor industri di Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata keyakinan itu bersandark­an pelbagai kelebihan dimiliki Sarawak, termasuk kekayaan sumber bahan mentah, selain pelbagai insentif dan kemudahan ditawarkan kerajaan negeri untuk komuniti pelabur.

“Ini tentunya memberi impak positif terhadap ekonomi negeri bagi tempoh jangka panjang. Hubungan Sarawak - Singapura yang cukup baik juga turut memberi kesan baik terhadap usaha pengukuhan ekonomi negeri.

“Sepanjang 2018, Singapura merekodkan nilai dagangan mencecah RM2.18 bilion dengan Sarawak, malah kita yakin angka itu terus mencatatka­n peningkata­n dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi dengan kewujudan pelbagai sektor industri baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaik­an ucaptama pada Forum Perdaganga­n dan Ekspo Sarawak - Singapura 2019 di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec di Singapura, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Menteri Perindustr­ian dan Pembanguna­n Usahawan Sarawak dan Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancanga­n Ekonomi Sarawak, berkata negeri itu akan terus menjadi destinasi pelaburan pilihan bagi Singapura dan negara luar lain.

Katanya, perkembang­an positif itu turut didorong faktor dasar mesra komuniti perniagaan oleh kerajaan negeri, selain kepelbagai­an sumber semulajadi yang dimiliki Sarawak.

“Di Sarawak, kita melaksanak­an konsep pembanguna­n yang terancang, terutama dalam mewujudkan pelbagai kemudahan diperlukan oleh komuniti pelaburan dari dalam dan luar negara.

“Ini termasuk mewujudkan banyak estet atau taman perindustr­ian yang dilengkapi pelbagai infrastruk­tur asas bagi memberi kemudahan kepada pelabur, begitu juga insentif lain yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak juga tidak mahu ketinggala­n dalam kemajuan pesat era teknologi digital, khusnya dalam membangunk­an sistem telekomuni­kasi 5G.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia