Berita Harian

Dr M kekal pendirian tak hantar pulang Zakir Naik

-

Putrajaya: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tetap dengan pendirian bahawa pendakwah bebas, Dr Zakir Naik tidak akan dihantar pulang ke India.

“Tiada perubahan (pendirian),” kata Perdana Menteri ketika ditanya, sama ada beliau kekal dengan pendirian tidak akan menghantar Zakir pulang ke India seperti pernah ditegaskan beliau sebelum ini.

Beliau ditemui media selepas hadir pada Majlis Perjumpaan Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri di sini, semalam.

Awal bulan lalu, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak akan menghantar pulang penceramah bebas itu sekiranya beliau tidak membuat sebarang masalah.

Beliau berkata, Zakir juga tidak akan dihantar pulang kerana sudah diberikan taraf penduduk tetap negara ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan masih mengkaji tawaran Maju Holdings Sdn Bhd untuk mengambil alih Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Perdana Menteri berkata, kerajaan masih meneliti cadangan pengambila­lihan berkenaan yang dikemukaka­n Maju Holdings, termasuk mengurangk­an kadar tol.

“Tetapi kena ada tol (di lebuh raya PLUS), tak ada tol dia (Maju Holdings) tak boleh beli, dia tak dapat balik duit.

“Proposal (cadangan), termasuk mengurangk­an kadar tol dan dia nak buat macam-macam lagi, nak perbaiki jalan...jadi kita sedang timbangkan,” katanya.

Sebelum ini, Maju Holdings dilaporkan mengemukak­an tawaran baharu untuk mengambil alih PLUS.

Bagaimanap­un, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, kerajaan menolak tawaran itu selepas mengambil kira pandangan pemegang saham utama syarikat konsesi tol terbabit.

Guan Eng dipetik berkata, pemegang saham utama PLUS, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak bersetuju dengan tawaran pengambila­lihan itu.

Mengulas cadangan Khazanah menghantar kertas cadangan pengambila­lihan 15 lebuh raya kepada kerajaan, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga masih melihat cadangan berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia