Berita Harian

Siti Hasmah rai ulang tahun ke-20 Rumah Ronald Mcdonald

-

Kuala Lumpur: Selepas dua dekad merasmikan Rumah Ronald Mcdonald (RRM) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kembali meraikan ulang tahun ke-20 kediaman itu di sini, semalam.

Dr Siti Hasmah menyatakan beliau amat berbangga dengan komitmen berterusan ditunjukka­n Persatuan Kebajikan Ronald Mcdonald (RMHC Malaysia) dan HCTM-UKM dalam usaha membantu keluarga pesakit pediatrik untuk berada dekat dengan anak yang menjalani rawatan.

“Jangka masa 20 tahun bukanlah tempoh singkat, saya terharu dengan komitmen dan sokongan semua pihak untuk memastikan kemudahan seperti ini dapat dikekalkan.

“Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama ibu bapa dan pesakit untuk sambutan kali ini. Kita perlulah berjuta-juta kali bersyukur kerana masih ada golongan yang memikirkan untuk membantu keluarga tidak bernasib baik,” katanya ketika memberi ucapan ringkas pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 RRM.

Isteri Perdana Menteri yang tiba jam 3.15 petang itu meluangkan masa hampir satu jam bersama-sama keluarga dan pesakit di RRM serta beramah mesra bersama hadirin.

Rumah penginapan dalam hospital yang pertama di rantau ASEAN itu ditubuhkan pada 1999 oleh RMHC Malaysia bertujuan meringanka­n beban keluarga pesakit pediatrik yang dirawat di HCTM-UKM dan hospital berdekatan.

Seramai 1,300 pesakit pediatrik yang menjalani rawatan di HCTM-UKM menginap di kediaman itu sejak ditubuhkan. Bayaran penginapan hanyalah RM5 untuk satu malam yang mampu memuatkan 19 keluarga pada satu-satu masa dengan pelbagai kemudahan disediakan.

 ?? [Foto Muhd Zaaba Zakeria/bh] ?? Dr Siti Hasmah memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Rumah Ronald Mcdonald di HCTM-UKM, Kuala Lumpur, semalam.
[Foto Muhd Zaaba Zakeria/bh] Dr Siti Hasmah memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Rumah Ronald Mcdonald di HCTM-UKM, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia