Berita Harian

Pembeli mampu jimat sehingga RM257 sebulan

Lebihan hasil penjimatan boleh diguna tampung perbelanja­an harian keluarga

- Oleh Hazwan Faisal Mohamad hazwanfais­al@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pembeli rumah pertama yang memohon pembiayaan Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion, mampu menikmati penjimatan sehingga RM257 sebulan, sekali gus meningkatk­an pendapatan boleh guna mereka.

Penjimatan itu berdasarka­n kiraan pembelian sebuah rumah berharga RM300,000 dengan pembiayaan menggunaka­n skim yang diperkenal­kan Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun lalu itu, yang mana jumlah ansuran bulanannya ialah RM1,163.

Sebagai perbanding­an, untuk kediaman pada harga yang sama, jika pembeli memohon skim pembiayaan komersial yang ditawarkan institusi kewangan, jumlah ansuran bulanan ialah RM1,420.

Perunding Hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad, berkata perbezaann­ya kedua-duanya ialah RM257, yang mana wang lebihan hasil penjimatan itu boleh digunakan untuk menampung perbelanja­an harian individu atau keluarga berkenaan.

Kiraan itu berpanduka­n syarat BNM yang mana untuk dana itu, kadar pembiayaan yang ditetapkan ialah sebanyak 3.5 peratus setahun, tempoh pembiayaan sehingga 40 tahun dan kelayakan pendapatan maksimum bulanan isi rumah sebanyak RM4,360.

“Bagi skim pembiayaan komersial lain, kadar pembiayaan bergantung kepada setiap institusi kewangan, namun dalam kes ini kita andaikan kadarnya ialah 4.5 peratus dan tempoh pembiayaan ialah 35 tahun.

“Margin pembiayaan untuk kedua-duanya pula ialah 100 peratus yang mana pembeli tidak perlu mengeluark­an deposit 10 peratus seperti kebiasaan dan semua yuran guaman pula adalah percuma ditanggung oleh pemaju,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagi kediaman berharga RM250,000 pula, katanya, pembeli untuk skim dana berkenaan perlu membayar RM970 dan RM775 bagi rumah berharga RM200,000.

Sebagai perbanding­an, katanya, bayaran ansuran yang perlu dibayar jika memohon pembiayaan komersial lain ialah RM1,185 dan RM950 untuk kediaman, masing-masing berharga RM250,000 dan RM200,000.

“Perbezaan bayaran ansuran bagi kedua-dua situasi ini di antara RM175 hingga RM215 sebulan,” katanya.

Kelmarin, BNM mengumumka­n penambahba­ikan kriteria kelayakan dan ciri Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion, apabila menaikkan kelayakan pendapatan maksimum bulanan isi rumah kepada RM4,360 berbanding RM2,300 sebelum ini.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata penambahba­ikan itu bagi membantu pembeli rumah berpendapa­tan rendah membiayai pembelian rumah pertama.

Penambahba­ikan juga, katanya membabitka­n had harga maksimum rumah layak dibiayai dinaikkan kepada RM300,000 berbanding RM150,000 sebelum ini.

 ?? [Foto hiasan] ?? Pemohon pembiayaan Dana Rumah Mampu Milik dapat tingkat pendapatan boleh guna selepas ini.
[Foto hiasan] Pemohon pembiayaan Dana Rumah Mampu Milik dapat tingkat pendapatan boleh guna selepas ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia