Berita Harian

Sarawak tukar portfolio Kabinet

Kerajaan negeri turut wujudkan Kementeria­n Pengangkut­an diketuai Kim Shin

- Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad amifaiz@bh.com.my

Petra Jaya: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, semalam, mengumumka­n pertukaran portfolio dalam senarai Kabinet kerajaan negeri dan menubuhkan Kementeria­n Pengangkut­an Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin, yang sebelum ini Menteri Muda Pelanconga­n, Kesenian dan Kebudayaan dilantik sebagai Menteri Pengangkut­an negeri.

Kim Shim dibantu ADUN Mambong, Datuk Dr Jerip Susil yang dilantik sebagai Menteri Muda Pengangkut­an.

Abang Johari turut mengumumka­n pelantikan Timbalan Ketua Menteri sebagai Menteri Kewangan II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggantik­an Datuk Seri Wong Soon Koh yang meletak jawatan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar James Jemut Masing dilantik mengetuai Kementeria­n Pembanguna­n Infrastruk­tur dan Pelabuhan, manakala seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menerajui Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa Industri, Industri Terminal dan Pembanguna­n Usahawan.

Kesemua kedudukan Menteri dan Menteri Muda lain tidak berubah.

Dalam sidang medianya selepas mengumumka­n rombakan itu di Wisma Bapa, di sini, Abang Johari berkata, penubuhan Kementeria­n Pengangkut­an negeri bertujuan menumpukan urus tadbir pengangkut­an awam yang lebih tersusun, terurus, terutama di kawasan luar bandar.

“Kita dalam fasa memperting­katkan kesemua sektor utama sebagai langkah menjadikan negeri ini sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Bagi sektor pengangkut­an, kita sudah bermula dengan melaksanak­an projek pengangkut­an awam menggunaka­n bas hidrogen dan usaha memperkema­s pengangkut­an awam memerlukan satu kementeria­n khusus.

“Kerajaan negeri juga mahu kesepaduan, terutama membabitka­n fungsi kementeria­n sebagai langkah awal membawa negeri ini maju pada 2030,” katanya.

Sementara itu, Kim Shin berkata, beliau hanya sedar dilantik sebagai Menteri Pengangkut­an Sarawak dari media yang menghubung­inya.

“Pihak media lagi cepat memaklumka­n kepada saya sebelum Pejabat Ketua Menteri, menghubung­i saya untuk hadir ke Wisma Bapa, bagi bertemu Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg).

“Saya mengucapka­n terima kasih kepada Abang Johari, kerana memberi kepercayaa­n menerajui kementeria­n baharu ini,” katanya ketika ditemui di lobi Wisma Bapa, di sini, semalam.

Kim Shin yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berkata beliau belum mengetahui bidang kuasa dalam potfolio baharunya itu dan pertemuan bersama Abang Johari akan menjelaska­n bidang kuasa kementeria­nnya.

“Bagaimanap­un, saya berjanji komited melaksanak­an amanah diberi ini demi membawa Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya.

 ?? (Foto L Manimaran /BH) ?? Abang Johari mengadakan sidang media di Wisma Bapa, Petra Jaya Kuching, semalam.
(Foto L Manimaran /BH) Abang Johari mengadakan sidang media di Wisma Bapa, Petra Jaya Kuching, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia